Monday , 10 December 2018

Home » Nasional » 113 peneroka tanah Ijok fail tuntutan

113 peneroka tanah Ijok fail tuntutan

March 14, 2018 3:57 pm Category: Nasional A+ / A-
113 peneroka tanah Ijok fail tuntutan

Peguam Datuk Kamarudin Ahmad (kiri) bersama peneroka tanah di Ijok mengemukakan tuntutan terhadap enam defendan termasuk Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri Selangor di Mahkamah Tinggi hari ini berhubung isu pampasan tanah di kawasan berkenaan. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM,. Sekumpulan 113 peneroka tanah di Ijok mengemukakan tuntutan terhadap enam defendan termasuk Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri Selangor di Mahkamah Tinggi hari ini berhubung isu pampasan tanah di kawasan berkenaan.

Mereka yang diwakili peguam Datuk Kamarudin Ahmad mengemukakan penyataan tuntutan itu, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Tuntutan itu berkaitan kecuaian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Selangor dalam menstrukturkan persetujuan penghakiman di Mahkamah Persekutuan pada 2016.

Tuntutan itu menyatakan plaintif sebagai Mohd Fadzil Ibrahim dan 112 peneroka Bukit Cerakah (Fasa 2 dan 3), manakala enam defendan iaitu Mohamed Azmin, kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Diperbadankan (MBI), Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah Daerah Kuala Selangor dan Pendaftar Hak Milik Negeri Selangor.

Kamarudin berkata, kecuaian menstrukturkan persetujuan penghakiman itu antaranya menyebabkan hak plaintif terjejas kerana tiada ganti rugi lewat menyiapkan rumah selama 12 tahun diberikan kepada mereka.

“Selain itu, ke mana perginya baki 1,000 ekar (400 hektar) tanah peringkat 2 dan 3 itu? Wujud unsur kecuaian dan salah laku oleh Menteri Besar dan kerajaan negeri yang menyebabkan kerugian kepada plaintif.

“Sehingga kini, tiada kenyataan oleh Menteri Besar mengenai baki tanah itu yang menjadi hak plaintif,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah.

Justeru, kata Kamarudin, plaintif memohon perintah mahkamah mengenai enam tuntutan yang difailkan.

“Pertama, satu deklarasi bahawa plaintif dan peneroka Revolusi Hijau Bukit Cerakah Peringkat 2 dan 3 berhak ke atas 1,000 ekar Tanah Bukit Cerakah yang didaftarkan atas nama defendan ketiga (MBI).

“Ia disusuli deklarasi bahawa defendan kedua (Kerajaan Selangor) dan MBI memegang tanah itu itu sebagai pemegang amanah kepada semua plaintif serta peneroka berkenaan.

“Selain itu, satu perintah melarang kedua-dua defendan itu melaksanakan sebarang urusan ke atas tanah berkenaan. Bayaran faedah atau ganti rugi penyerahan rumah secara lewat sebanyak RM230,000 bagi setiap plaintif turut dituntut,” katanya.

Kamarudin berkata, tuntutan itu juga berkaitan bayaran ganti rugi yang ditaksirkan mahkamah dan faedah lima peratus dari tarikh penfailan sehingga penyelesaian penuh kes.

Sementara itu, Mohd Fadzil yang juga Pengerusi Badan Bertindak Lama 2003-2014 berkata, tuntutan berkenaan bertujuan mahu mengembalikan semula hak mereka walaupun ada peneroka masih takut dengan ugutan pihak tertentu kononnya tidak akan menerima pampasan sekiranya berbuat demikian.

“Kita melakukan ini untuk semua 980 peneroka yang dianggap teraniaya dan akan memberi penerangan secara berperingkat kepada mereka di Tanjung Karang serta Kuala Selangor nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan perjanjian persetujuan antara peneroka dan dua syarikat pemaju hanya membabitkan tanah seluas 800 hektar, manakala baki 400 hektar menjadi milik kerajaan negeri.

Keluasan keseluruhan tanah peneroka itu ialah 1,200 hektar, namun ia diambil Kerajaan Selangor pada 2009 selepas syarikat pemaju dilantik peneroka selaku pemilik tanah gagal memajukan kawasan berkenaan.

Peneroka meminta Kerajaan Selangor sekurang-kurangnya membayar pampasan mengikut harga semasa.

BH

scroll to top