Wednesday , 23 May 2018

Home » Nasional » 16,000 permohonan guru duka lara diluluskan

16,000 permohonan guru duka lara diluluskan

March 13, 2018 6:25 pm Category: Nasional A+ / A-
16,000 permohonan guru duka lara diluluskan

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid melancarkan pakej UniFi Mobile di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR,. Hampir 16,000 permohonan pertukaran oleh guru duka lara bagi mengikut pasangan masing-masing, sudah diluluskan sepanjang tempoh Disember 2015 hingga akhir tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sebanyak 7,000 permohonan lagi akan diproses pada Jun depan.

Katanya, kebanyakan permohonan diluluskan itu membabitkan mereka bertugas jauh dari keluarga melebihi lima tahun, sekali gus mengurangkan jumlah guru duka lara berkenaan.

Beliau berkata, baki guru duka lara bawah lima tahun juga akan dikurangkan dari semasa ke semasa.

“Guru terbabit dipindahkan atas permintaan mereka. Keseluruhan jumlah permohonan pertukaran guru duka lara ialah hampir 30,000.

“Bagaimanapun, bukan semua pasangan terbabit yang kedua-dua suami isteri adalah guru. Ada yang pasangan mereka dalam bidang kerjaya lain tetapi terpaksa tinggal berjauhan.

“Antara kriteria utama permohonan pertukaran guru terbabit ialah kekosongan jawatan, keperluan mata pelajaran di negeri yang dimohon dan kepentingan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan – Ke Arah Pembelajaran Abad Ke-21 di sini, hari ini.

Sementara itu mengenai program berkenaan pula, Mahdzir berkata, kementerian bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi mempertingkat kualiti pembelajaran di Malaysia menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Permuafakatan antara kementerian dengan TM selaras aspirasi melaksanakan metodologi pembelajaran abad ke-21 di lebih 1,000 bilik darjah seluruh negara membabitkan sekolah di bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu membabitkan empat tunjang utama, iaitu teras pertama – Pembelajaran Abad Ke-21, teras kedua (Enterprise Architecture), teras ketiga (Analitik Pendidikan) dan teras keempat (Perkhidmatan Nilai Tambah).

Katanya, kementerian dan TM akan bekerjasama mempromosi, mempermudah serta melaksanakan sistem transformasi digital bagi memastikan bidang pendidikan negara kekal berdaya saing dan dinamik.

Pada majlis sama, Mahdzir turut melancarkan pakej UniFi Mobile data tanpa had khusus untuk guru pada kadar RM59 sebulan dengan 10GB LTE Hotspot Tethering.

scroll to top