Sunday , 27 May 2018

Home » Bencana » 2 mati, lebih 200 cedera dalam gempa bumi 6.4 Melanda Taiwan

2 mati, lebih 200 cedera dalam gempa bumi 6.4 Melanda Taiwan

February 7, 2018 7:51 am Category: Bencana, Dunia A+ / A-
2 mati, lebih 200 cedera dalam gempa bumi 6.4 Melanda Taiwan

TAIPEI,. Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang melanda timur Taiwan mengakibatkan dua maut manakala lebih 200 lagi dilaporkan cedera, kata kerajaan, selepas sebuah bangunan runtuh dan menyebabkan mangsa terperangkap di dalamnya.

Menurut agensi kebakaran negara, sebuah hotel dan blok kediaman antara yang paling teruk terjejas dalam gempa bumi di pelabuhan bandar Hualien berkenaan.

Katanya, lima bangunan lain termasuk sebuah hospital turut rosak manakala rakaman televisyen memaparkan jalan raya dipenuhi sisa runtuhan, berlaku retakan di sepanjang lebuh raya selain bangunan condong akibat gempa.

Hotel Marshal dilihat paling teruk terjejas dengan sebahagiannya hampir menyembah bumi manakala bahagian yang lain condong, kata penyelamat yang menggunakan kren dalam usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di tingkat paling atas.

“Ia adalah kejadian gempa terbesar dan terburuk yang pernah saya saksikan di Hualien dalam tempoh lebih sepuluh tahun ini, ” kata seorang penduduk dikenali sebagai Blue Hsu pada AFP yang turut memberitahu kediamannya bergegar kuat.

Menggambarkan keadaan di Hotel Marshal, Hsu berkata tingkat bawah hotel musnah seluruhnya.

“Tingkat bawah terbenam ke dalam tanah namun pelancong yang panik berjaya diselamatkan. Kira-kira 50 anggota penyelamat dibantu sebuah jentolak terbabit dalam misi menyelamat,” katanya.

Menerusi laman Facebooknya, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen berjanji menghulurkan bantuan diberi secepat mungkin selain mengerahkan penyelamat bersiap sedia membantu.

– AFP

scroll to top