Saturday , 17 November 2018

Home » Nasional » 2,000 undi ‘hilang’ di 5 cabang PKR Melaka

2,000 undi ‘hilang’ di 5 cabang PKR Melaka

October 21, 2018 3:27 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
2,000 undi ‘hilang’ di 5 cabang PKR Melaka

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin./Foto - GERBANGPOST

MELAKA,. Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR masih berusaha mencari sejumlah 2,000 undi yang dilaporkan ‘hilang’ membabitkan lima daripada enam cabang PKR Melaka yang selesai menjalankan pemilihannya, semalam.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kehilangan kira-kira 60 peratus undian yang dibuat melalui sistem e-undi itu agak mengejutkan sehingga gagal untuk memuktamadkan keputusan rasmi pemilihan parti di negeri ini.

“Saya sendiri semalam berada di Negeri Sembilan, sehingga jam 3 pagi bersama-sama pasukan teknikal untuk menyiasat kira-kira 2,000 jumlah undi yang masih cuba dicari pasukan berkenaan.

“Di Cabang PKR Jasin sendiri, peratusan tinggi keluar mengundi tetapi yang berjaya dikira cuma kira-kira 40 peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sebanyak enam cabang PKR selesai pengundian melalui sistem e-undi di Melaka semalam iaitu bagi Cabang Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Bukit Katil, Kota Melaka dan Jasin.

Dalam keputusan tidak rasmi pengundian di enam cabang PKR Melaka sehingga jam 7.30 malam tadi, kumpulan ‘Reformasi 20 Tahun’ yang diterajui Rafizi Ramli dilaporkan mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Rafizi dalam Twitternya turut mendakwa mendapat 55 peratus undi di Melaka dan 52 peratus undi di Negeri Sembilan.

“Terima kasih sahabat PKR N9 (Negeri Sembilan) dan Melaka. Keputusan tidak rasmi menunjukkan saya menang di kedua-dua negeri. Masih tunggu keputusan akhir untuk tentukan margin sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Rafizi itu, Shamsul Iskandar yang juga calon Naib Presiden PKR, berkata dakwaan Rafizi tidak mempunyai asas kerana keputusan rasmi belum dimuktamadkan.

“Belum, itu tidak benar (Rafizi menang). Dakwaan itu tidak mempunyai asas. Belum rasmi… belum habis kira.

“Ini kerana lima cabang mempunyai masalah, kita masih mengharap ia dapat diselesaikan,” katanya.

Mengenai rakaman video dipercayai di Cabang Tangga Batu mengenai dakwaan ahli PKR tidak berpuas hati dengan sistem e-undi, Shamsul Iskandar berkata, sistem itu masih baharu dan sudah berjalan sebanyak 40 peratus di seluruh negara.

“Sistem (e-undi) ini masih baharu. Apabila sudah di tahap ini, tidak bolehlah pandang ke belakang, sebaliknya ia perlu ditambah baik,” katanya.

scroll to top