Sunday , 24 March 2019

Home » Nasional » 2003 catat angka tertinggi kes kematian dalam tahanan

2003 catat angka tertinggi kes kematian dalam tahanan

April 21, 2016 9:09 am Category: Nasional A+ / A-
2003 catat angka tertinggi kes kematian dalam tahanan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendedahkan tahun 2003 mencatatkan jumlah tertinggi kematian dalam tahanan polis melalui kajian yang dijalankan pihaknya.

?Menurut dapatan kajian itu, sepanjang tempoh 2000 hingga Februari 2014, sebanyak 242 kematian dalam tahanan dicatatkan dengan pelbagai punca.

?“Pecahan kematian bagi 2003, punca kematian akibat HIV sebanyak 9 kes, gantung diri 1 kes, gaduh sesama OKT (orang kena tahan) 1 kes, pendarahan otak 2 kes, tergelincir di bilik air lokap 1 kes dan lain-lain penyakit (usus, hati, kuning, ulser, paru-paru, kerongkong) 18 kes.

?“Bagi pilihan sakit asma, sakit jantung dan dicederakan polis pula tiada kes,” kata laporan itu.

?Berdasarkan laporan itu juga, sepanjang tahun kajian itu, 30 kes gantung diri dicatatkan di mana pada 2001 sebanyak lima kes dicatatkan.

?“Pada tahun 2000, 3 kes dicatatkan, 2012 sebanyak empat kes berlaku dan tahun 2000 serta 2005 masing-masing 3 kes.

“Bagi lain-lain tahun antara satu dan dua kes dicatatkan. Namun tiada kes berlaku pada tahun 2014,” katanya.

Selain itu, majoriti Ketua Polis Balai seramai 40 orang dan anggota sentri seramai 107 orang yang dikaji menyatakan bahawa penyakit sebagai faktor yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan polis.

“Ini berlaku terutamanya apabila mereka menghidap penyakit atau tidak sihat sebelum ditahan polis. Faktor kedua terbanyak yang dinyatakan adalah keadaan lokap yang kotor dan sistem aliran udara yang kurang baik. Ini diakui 24 Ketua Balai dan 21 anggota sentri.

“Tidak ramai Ketua Polis Balai dan anggota sentri yang menyatakan kecuaian dan kekerasan sebagai faktor utama kematian. Namun 13 Ketua Polis Balai dan 17 anggota sentri menyatakan kekeasan antara faktor kematian.

“Manakala 10 Ketua Polis Balai dan 10 anggota sentri menyatakan kecuaian adalah faktor kematian,” kata laporan itu.

Laporan itu turut menyebut melalui temu bual bersama OKT menunjukkan ada kekerasan digunakan semasa tangkapan dan soal siasat.

“Ada juga OKT diugut. Walaupun jumlah OKT yang menyatakan layanan diberikan adalah baik lebih tinggi namun tindakan memukul, ugut adalah bertentangan dengan undang-undang dan hak asasi manusia.

“OKT yang dikasari memberitahu mereka dipukul, ditendang, ditumbuk, ditampar, dipukul menggunakan objek, dihantuk kepala ke dinding dan dirotan. Kebanyakan OKT mengatakan mereka dipukul ditapak kaki menggunakan paip getah kerana dipercayai tidak akan meninggalkan kesan. Ada juga yang mendakwa mereka ditengking dan dibogelkan semasa soal siasat.

“Manakala OKT yang diugut memaklumkan mereka diminta mengaku bersalah, digertak akan dipukul dan ahli mereka akan ditangkap. Layanan menggunakan kekerasan dan ugutan adalah tindakan tidak berperikemanusiaan dan boleh menjadi faktor penyumbang kematian dalam tahanan,” katanya.

scroll to top