Friday , 20 July 2018

Home » Bencana » 35 rumah, bangunan musnah, Kilauea terus meledak

35 rumah, bangunan musnah, Kilauea terus meledak

May 8, 2018 6:46 pm Category: Bencana, Dunia A+ / A-
35 rumah, bangunan musnah, Kilauea terus meledak

Aliran lava dari gunung berapi Kilauea, bergerak di jalan di Leilani Estates di Hawaii. - Foto REUTERS

PAHOA: Sekurang-kurangnya 35 rumah, termasuk beberapa bangunan musnah akibat lahar dari gunung berapi Kilauea, kata pihak berkuasa, sekali gus memberi amaran kepada penduduk tempatan yang dibenarkan pulang seketika ke kediaman mereka untuk bersiap sedia dipindahkan semula.

Kebanyakan daripada 1,700 penduduk yang diarahkan berpindah dari kejiranan Leilani Estates di timur Big Island dibenarkan pulang seketika pada Ahad dan Isnin, ketika aktiviti seismik di Kilauea reda.

“Bersedia untuk dipindahkan sebaik notis dikeluarkan,” kata Agensi Pertahanan Awam Hawaii dalam satu amaran yang dimuat naik di laman webnya.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan Lanipuna Gardens dilarang pulang ke rumah semalam, berikutan aktiviti gas gunung berapi yang berbahaya.

“Kilauea yang mula meledak Khamis lalu dengan memuntahkan aliran lahar ke kawasan kejiranan, mengakibatkan terbentuknya 10 rekahan gunung berapi pada hari berikutnya,” kata para pegawai.

Namun, lahar tidak mengalir dari mana-mana rekahan itu semalam ketika ledakan Kilauea reda.

Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, tetapi agensi pertahanan awam berkata 35 bangunan musnah, kebanyakannya rumah.

– Reuters

scroll to top