Sunday , 23 September 2018

Home » Nasional » 5 layak tanding jawatan Presiden UMNO

5 layak tanding jawatan Presiden UMNO

June 22, 2018 7:59 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
5 layak tanding jawatan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR,. Hanya lima calon bakal bertanding merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Berdasarkan senarai akhir disiarkan di laman web UMNO Online, jumlah itu berkurangan berbanding tujuh calon sudah menghantar borang menawarkan diri bagi jawatan berkenaan sejak pendaftaran pencalonan dibuka 1 Jun lalu.

Lima calon disenaraikan itu ialah Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri.

Dua lagi yang sudah menghantar borang tetapi tidak disenaraikan ialah blogger, Rahmat Azim Abdul Aziz dan Ketua Konvoi Motosikal Ride for World #QuranHour yang juga Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang serta Yang Dipertua Melayu Islam Bersatu Malaysia, Rosilee Saat.

Bagi jawatan timbalan presiden, dua calon bertanding ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa.

Apa yang menarik, pemilihan parti kali ini menyaksikan dua pemimpin UMNO dari Rembau bertanding dua jawatan tertinggi iaitu Khairy (Ahli Parlimen Rembau) bagi jawatan presiden dan Mohamad (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dalam Parlimen Rembau) bagi jawatan timbalan presiden.

Seramai tujuh calon pula bakal bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden, manakala 106 calon bertanding bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT). Semua calon disenaraikan, melepasi proses saringan dalam pelbagai kaedah kelayakan dan disemak Jabatan Insolvensi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Ibu Pejabat UMNO sudah menyemak semua calon supaya mencukupi syarat ditetapkan untuk bertanding.

Sementara itu, walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beberapa nama besar dalam UMNO bangkit semula bertanding pada pemilihan UMNO dengan matlamat memulihkan parti.

Mereka adalah bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bera dan akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Turut bertanding bagi jawatan sama adalah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kalah di Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Selain itu, tampil merebut jawatan Naib Presiden adalah bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani selepas tewas mengejut di kerusi Parlimen Titiwangsa kepada Ketua Srikandi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Rina Harun, yang kali pertama bertanding pada PRU lalu.

Ada juga ‘warlord’ UMNO bertaraf menteri ketika kerajaan sebelum ini masih bertanding jawatan Ahli MT UMNO walaupun kalah pada pilihan raya lalu.

Mereka adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tewas di Parlimen Jerai), bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tewas di Parlimen Kemaman).

Bertanding untuk jawatan sama termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tewas di Lumut), Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz (tewas di Parlimen Jerlun).

Bekas Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tewas di Parlimen Pasir Puteh pula bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO.

INFO

Pencalonan Pemilihan UMNO 2018

Jumlah keseluruhan pencalonan: 518

* MAJLIS TERTINGGI

– Pengerusi Tetap: 2

– Timbalan Pengerusi Tetap: 14

– Presiden: 5

– Timbalan Presiden: 2

– Naib Presiden: 7

– Ahli Jawatankuasa: 106

* PEMUDA

– Pengerusi Tetap: 2

– Timbalan Pengerusi Tetap: 3

– Ketua Pemuda: 9

– Naib Ketua: 9

– Ahli Jawatankuasa: 184

* WANITA

– Pengerusi Tetap: 2

– Timbalan Pengerusi Tetap: 4

– Ketua Wanita: 3

– Naib Ketua: 4

– Ahli Jawatankuasa: 81

* PUTERI

– Pengerusi Tetap: 2

– Timbalan Pengerusi Tetap: 1

– Ketua Puteri: 2

– Naib Ketua: 5

– Ahli Jawatankuasa Puteri: 71

scroll to top