Friday , 23 February 2018

Home » Bencana » 600 pelancong terkandas sambung perjalanan

600 pelancong terkandas sambung perjalanan

February 3, 2018 2:57 pm Category: Bencana, Dunia A+ / A-
600 pelancong terkandas sambung perjalanan

SYDNEY,. Ratusan pelancong yang terperangkap di sebuah bandar terpencil di New Zealand berjaya meneruskan perjalanan mereka, selepas pihak berkuasa membuka semula lebuh raya di situ, hari ini.

Pelancong itu terkandas selama 48 jam selepas ribut kencang yang melanda kawasan itu menyebabkan jalan raya rosak.

Difahamkan kira-kira 600 pelancong berjaya meninggalkan bandar Haast, yang terletak 265 kilometer di barat laut Dunedin di pantai barat Pulau Selatan selepas laluan keluar dibuka semula.

Agensi Pengangkutan New Zealand memberitahu Reuters menerusi e-mel bahawa lebuh raya berhampiran bandar itu dibuka semula pada jam 11 pagi (waktu tempatan).

“Semua kenderaan yang terperangkap ketika ini dibenarkan melalui lebuh raya itu seperti biasa,” katanya.

Taufan Fehi yang melanda seluruh pantai barat menyebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang hingga menutup laluan lebuh raya, bekalan elektrik terputus dan jambatan runtuh.

Sementara itu, pegawai Pertahanan Awam Pantai Barat ketika dihubungi menerusi telefon berkata, sebanyak 117 kenderaan yang terkandas di Fox Glacier sudah meninggalkan kawasan itu selepas jalan raya diperbaiki.

– Reuters

scroll to top