Saturday , 15 December 2018

Home » Ekonomi » 64,632 rakyat Malaysia bankrap sejak lima tahun lepas

64,632 rakyat Malaysia bankrap sejak lima tahun lepas

November 16, 2018 8:12 am Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
64,632 rakyat Malaysia bankrap sejak lima tahun lepas

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR,. Jabatan Insolvensi Malaysia berkata seramai 64,632 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 44 tahun telah diisytiharkan bankrap sejak lima tahun lepas.

Sebagai tambahan, 13,338 juga telah diisytiharkan muflis pada September tahun ini.

Perangkaan ini menyerlahkan kepentingan celik kewangan dalam institusi-institusi keluarga, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Pendidikan kewangan, amat penting untuk kestabilan dan kemampanan kepada institusi keluarga yang seterusnya akan membawa kepada pengukuhan dan perbelanjaan berhemat bagi negara ini.

“Saya percaya disiplin fiskal perlu bermula dari rumah. Ibu bapa mempunyai peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata demikian pada perasmian Simposium Celik Kewangan 2018 yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini, hari ini.

“Saya difahamkan bahawa beberapa pertubuhan-pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan institusi-institusi kewangan juga telah menjalankan program celik kewangan di sekolah, bertujuan untuk mengajar anak-anak perbezaan antara keperluan dan kemahuan.

“Inisiatif seperti ini harus dipuji dan saya berharap lebih banyak program-program celik kewangan akan dijalankan di kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Wan Azizah menambah adalah penting bagi agensi-agensi seperti AKPK dan pihak berkepentingan yang lain untuk mengadakan program-program celik kewangan ke atas ibu bapa untuk membolehkan mereka membangunkan pendirian mengenai kewangan yang betul di kalangan anak-anak mereka.

— BERNAMA

scroll to top