Saturday , 18 August 2018

Home » Bisnes » 8 model baharu Triumph

8 model baharu Triumph

March 10, 2018 10:55 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
8 model baharu Triumph

Triumph Bonneville Speedmaster.

TRIUMPH Motorcycles memperluaskan rangkaian modelnya di pasaran tempatan dengan pengenalan lapan model baharu, iaitu Bonneville Bobber Black dan Speedmaster baharu selain enam varian Tiger 800 yang memukau.

Jenama popular Eropah yang diimport secara rasmi oleh Motoradic Sdn Bhd dan diedarkan Fast Bikes Sdn Bhd, optimis semua model terbaru, terutama Tiger menepati selera peminat motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak al-Malique, berkata pelancaran motosikal baru itu sebagai menghargai pelanggan yang setia bersama jenama Triumph, termasuk mereka yang baru memiliki motosikal jenama berkenaan.

“Bonneville Bobber berjaya membawa jenama Triumph ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Ia adalah motosikal yang menarik dan sesuai bagi mereka yang menggemari sentuhan klasik gaya bobber,” katanya ketika pelancarannya di Bukit Tinggi, minggu lalu.

Triumph Tiger 800.

Triumph Tiger 800.

Pelengkap Bonneville Bobber

Razak berkata, kehadiran Bobber Black melengkapi pakej Bonneville Bobber dengan gaya tersendiri, kejuruteraan elegan dan paling utama tunggangan bersama bunyi yang mengujakan.

“Bonneville Speedmaster pula membawa pengaruh DNA klasik keluarga Bonneville dengan paduan gaya Bobber yang unik tetapi lebih praktikal dan versatil.

“Model ini menawarkan ergonomi penunggangan lebih relaks, manakala enam varian Triumph Tiger 800 XCx dan XRx adalah antara motosikal kembara paling berjaya dalam segmen masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Bonneville Bobber Black berasaskan model Bonneville Bobber, antara motosikal jenama Triumph terlaris di dunia.

Bobber Black menampilkan rim hadapan 16 inci, fork hadapan Showa 47 mm, lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) baru selain butang tunggal bagi kawalan jelajah sebagai ciri standard.

Bonneville Speedmaster pula Ia menawarkan ergonomi penunggangan lebih relaks dengan beach bars terentang ke belakang, pemasangan pelana berkembar dan tunggal berbanding Bobber yang hanya didatangkan dengan satu pelana.

Ia juga mempunyai tempat letak kaki dipasang ke hadapan, rim berjejari 16 inci dan tangki bahan api berkapasiti 12 liter bagi jarak tunggangan lebih jauh.

Kedua-dua model ini dipacu enjin berkembar sebaris 1,200cc yang menawarkan kuasa 77PS pada 6,100rpm manakala tork maksimum 106Nm pada 4,000rpm.

Triumph Tiger 800 XRT dan XCA.

Triumph Tiger 800 XRT dan XCA.

Rangkaian luas Tiger

Model kembara Tiger 800 XCx untuk laluan sukar dan XRx yang tertumpu pada penggunaan jalan raya menampilkan lebih 200 penambahbaikan pada casis dan enjin.

Paling menarik Varian XCx dan XRx dilengkapi kelompok instrumen berwarna TFT baru bersaiz lima inci.

Ratio gear turut diperbaharui dengan gear satu lebih pendek bertujuan memberi cengkaman off-road lebih baik, pengendalian mudah pada kelajuan rendah serta pecutan dipertingkatkan.

Tiger 800 didatangkan dengan kompaun pelana baharu dan dua pilihan ketinggian. Pelana model XRx (810-830mm) dan XCx (840-860mm) boleh dilaras sehingga 20mm bagi menyesuaikan gaya tunggangan dan laluan penunggang.

Triumph Tiger 800 XRT.

Triumph Tiger 800 XRT.

Selain itu, peralatan standard dikekalkan antaranya Sistem Brek Antikunci (ABS), kawalan cengkaman, pendikit ‘ride-by- wire’, kawalan jelajah, pelana dengan ciri pemanas dan grip (model terpilih) dan soket kuasa.

Semua model Triumph terbaru ini boleh didapati dengan harga bermula RM79,900 bagi Bonneville Bobber Black dan Bonneville Speedmaster.

Enam varian Triumph Tiger 800 iaitu XR, XRx, XRx Low, XRT, XCx, XCa dijual pada harga bermula RM56,900 hingga RM81,900.

Semua motosikal ini disertakan dengan jaminan perbatuan tidak terhad selama dua tahun.

scroll to top