Wednesday , 22 August 2018

Home » Nasional » 80 peratus pengasuh di taska tidak miliki kelayakan minimum

80 peratus pengasuh di taska tidak miliki kelayakan minimum

August 13, 2018 10:40 am Category: Nasional A+ / A-
80 peratus pengasuh di taska tidak miliki kelayakan minimum

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

PUTRAJAYA,. Kira-kira 80 peratus atau 13,700 orang pengasuh bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah di taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih tidak memenuhi kelayakan minimum, Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA (KAP) setakat Jun 2018.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kekurangan bilangan pengasuh yang berkelayakan memberi implikasi terhadap jumlah taska yang berdaftar.

“Unjuran banci Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010 menganggarkan jumlah kanak-kanak berusia kosong hingga empat tahun pada 2018 seramai 2.3 juta orang,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Taska 2018 di sini semalam.

Jelasnya berdasarkan statistik tersebut, jika dianggap bahawa 50 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia yang berusia empat tahun ke bawah memerlukan taska, maka negara memerlukan 38,333 buah taska bagi menampung jumlah kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun, katanya statistik pendaftaran taska JKM menunjukkan bahawa bilangan taska yang berdaftar adalah sebanyak 4, 302 buah sahaja (11.22 peratus).

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata bilangan tersebut menunjukkan kekurangan yang amat jelas dari aspek keperluan dan ketersediaan taska di negara ini.

“Kekurangan pengasuh berkelayakan dan bilangan taska berdaftar akan memberi implikasi terhadap jaminan kualiti dan keselamatan anak-anak kita,” katanya.

Dr Wan Azizah menegaskan ketersediaan taska adalah penting bagi menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja dalam menguruskan anak-anak semasa tempoh mereka keluar bekerja.

“Hal ini secara tidak langsung akan membantu negara mencapai matlamat untuk meningkatkan penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita sebanyak 59 peratus pada 2020 berbanding 54.7 peratus pada 2017,” katanya.

Jelasnya aksesibiliti terhadap taska membolehkan golongan wanita atau ibu-ibu terus kekal atau kembali ke pasaran kerja dan akan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja sekaligus dapat menjana ekonomi keluarga dan negara.

‘Keserataan’ telah diangkat sebagai tema bagi sambutan Hari Taska Kebangsaan 2018 selari dengan komitmen kerajaan terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak yang telah diratifikasi sejak 1995.

— BERNAMA

scroll to top