Tuesday , 16 October 2018

Home » Nasional » 9 wakil Kedah tanding MT UMNO

9 wakil Kedah tanding MT UMNO

June 13, 2018 5:31 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
9 wakil Kedah tanding MT UMNO

Datuk Mahdzir Khalid

ALOR SETAR,. UMNO Kedah hari ini mengumumkan sembilan ahli dari negeri itu akan bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti tahun ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mahdzir Khalid, berkata calon-calon terbabit ialah penyandang jawatan berkenaan yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom diikuti Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Shafian serta Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Johari Baharum.

Katanya, turut bertanding merebut jawatan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad; Ketua Wanita UMNO Pendang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

“Nama lain yang disenarai ialah Datuk Latt Shariman Abdullah; Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Pokok Sena, Dr Mohammad Nawar Ariffin dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Prof Dr Ismail Daut.

“Saya sendiri yang juga penyandang Ahli Majlis Tertinggi seperti yang semua maklum akan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO. Bagaimanapun nama-nama ini akan disahkan bertanding selepas 17 haribulan ini kerana mungkin berlaku penukaran jika ada calon yang tarik diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian – Bahagian Seluruh Kedah di sini, malam ini.

Sementara itu, Mahdzir berkata, Dr Masyitah Ibrahim akan merebut jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia manakala ADUN Kulim/Bandar Bharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad akan bertanding bagi jawatan EXCO Pergerakan Wanita.

Dua calon Puteri iaitu Ummi Kalsom Abdul Muthalib dan Maizatul Miza Mohd Disa menawarkan diri bertanding EXCO Puteri UMNO Malaysia.

Sementara itu, Mahdzir berkata, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri akan bertanding untuk jawatan EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

“Dua lagi individu bertanding jawatan yang sama ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Ahmad Marzuki Shari’at dan AJK Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

scroll to top