Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » Abdul Azeez nafi RM22 juta duit Yayasan Tabung Haji diguna untuk tujuan politik

Abdul Azeez nafi RM22 juta duit Yayasan Tabung Haji diguna untuk tujuan politik

December 3, 2018 4:58 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Abdul Azeez nafi RM22 juta duit Yayasan Tabung Haji diguna untuk tujuan politik

KUALA LUMPUR,. Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan duit RM22 juta Yayasan Tabung Haji (YTH) disalah guna untuk aktiviti politik.

Anggota Parlimen Baling itu berkata duit itu adalah dana yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk sumbangan pihak korporat, peruntukan khas kerajaan serta orang perseorangan yang mahu menyumbang dalam pelbagai program kebajikan dan sosial.

“Program YTH yang dimaksudkan termasuklah program membantu golongan fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), serta ibu tunggal seluruh negara menerusi program ‘Ziarah Kasih’, ‘Jom Bantu Rakyat’, dan ‘Ziarah Kasih Ramadan’ selama setahun.

“Dana berjumlah RM22 juta itu bukanlah wang penabung (pendeposit TH). Ia adalah zakat hasil keuntungan pelaburan TH sebanyak RM7 juta dan selebihnya adalah duit sumbangan UMNO, Kerajaan Persekutuan dan syarikat yang tidak pernah berniaga dengan TH untuk menjalankan aktiviti bulan Ramadan pada 2017,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika mengulas laporan akhbar mengenai perkara itu, Abdul Azeez berkata beliau akan tunggu panggilan daripada polis dan bersedia beri kerjasama.

Jumaat lepas, TH telah membuat laporan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini melibatkan Abdul Azeez, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta kakitangan pengurusan kanan.

Kakitangan kanan itu ialah Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (Ketua Pegawai Operasi) dan Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Laporan pertama melibatkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2017, di mana dana berjumlah lebih RM22.0 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik. Ini bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Para pemegang amanah YTH pada masa itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi dan Rozaida.

Laporan kedua terhadap Ismee, Hazlina dan Rifina dibuat berhubung dakwaan salah nyataan dan penyorokan maklumat penting yang melibatkan jualan 95 peratus saham PT TH Indo Plantations pada tahun 2012 yang dipegang oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM3.8 billion).

Abdul Azeez berkata tiada sebarang dakwaan penyelewengan berkaitan maklumat penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM3.8 bilion).

“Saya dilantik sebagai pengerusi TH pada Julai 2013. Sehingga hari ini tiada dakwaan penyelewengan atau kecurian yang berlaku berkaitan penjualan ini termasuklah dakwaan mengenai jualan yang dilakukan berasaskan harga di bawah nilai pasaran.

“Sebaliknya laporan media pada ketika itu jelas melaporkan bahawa harga jualan lebih tinggi daripada harga pasaran iaitu kira-kira AS$16,000 (RM67,200) sehektar,” jelasnya.

— BERNAMA

scroll to top