Saturday , 23 June 2018

Home » Nasional » ADUN Dari PBB Tidak Dicalonkan Untuk Kerusi Parlimen PRU14

ADUN Dari PBB Tidak Dicalonkan Untuk Kerusi Parlimen PRU14

December 18, 2017 7:32 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
ADUN Dari PBB Tidak Dicalonkan Untuk Kerusi Parlimen PRU14

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING,. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak, tidak akan mencalonkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bertanding kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendirian parti itu adalah untuk memberi keadilan kepada rakyat yang telah memilih wakil rakyat yang dapat memberi khidmat sepenuh masa dan terbaik di kawasan Parlimen masing-masing.

“Ini merupakan pendirian PBB, namun berharap parti komponen lain dalam BN negeri akan turut mengambil pendirian yang sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat PBB cawangan Satok, di sini hari ini.

Selain PBB, BN Sarawak dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Sebanyak 31 kerusi Parlimen akan dipertandingkan di Sarawak pada PRU14.

Tahun lepas, DUN Sarawak, yang mempunyai 82 kerusi, telah mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-11.

Abang Johari, yang juga pengerusi BN negeri, berkata semua calon PRU14 dari Sarawak akan disaring oleh pelbagai agensi berkaitan sebelum nama mereka diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila tiba masanya nanti.

Beliau berkata antara agensi itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Insolvensi, Jabatan Imigresen dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, proses saringan itu tidak harus dipandang ringan bagi mengelak pilihan raya kecil terpaksa diadakan apabila kemenangan calon dibatalkan kemudian atas pelbagai sebab.

“Ia pernah berlaku (pilihan raya kecil) sebelum ini di dalam mahupun di luar negeri ini.

“Kita tidak mahu kontroversi kelak…soal kelayakan mungkin boleh diputuskan oleh mahkamah…tetapi itu soal lain, yang penting tidak mahu ada kemungkinan pilihan raya kecil kemudian…ia banyak membazir waktu dan tenaga,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top