Wednesday , 24 July 2019

Home » Nasional » ADUN Sementa angkat sumpah Timbalan Speaker DUN Selangor

ADUN Sementa angkat sumpah Timbalan Speaker DUN Selangor

March 18, 2019 2:48 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
ADUN Sementa angkat sumpah Timbalan Speaker DUN Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

SHAH ALAM,. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi, mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu.

Beliau yang Timbalan Ketua Wanita PKR mengangkat sumpah pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor ke-14, di sini, hari ini.

Dr Daroyah menggantikan ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang dilantik menjadi EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor pada Disember lalu.

Beliau Timbalan Speaker wanita kedua di DUN Selangor selepas Hanizah Mohamed Talha (sebelum ini ADUN Taman Medan) pada 2008.

Dalam majlis sama, Zakaria Hanafi secara rasmi turut mengangkat sumpah sebagai ADUN Semenyih yang baharu.

Pada awal Mac lalu, Zakaria menang dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih dengan 19,780 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

scroll to top