Friday , 24 May 2019

Home » Nasional » AFC berterima kasih pada Sultan Abdullah atas sumbangan besar

AFC berterima kasih pada Sultan Abdullah atas sumbangan besar

February 23, 2019 8:30 am Category: Nasional A+ / A-
AFC berterima kasih pada Sultan Abdullah atas sumbangan besar

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri?ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR,. Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas sumbangan besar baginda terhadap bola sepak Asia.

Shaikah Salman menyatakan bahawa Sultan Abdullah merupakan seorang pemimpin yang berinspirasi dalam arena bola sepak Malaysia dan Asia dan memuji baginda atas usaha yang tidak mengenal lelah membangunkan sukan bola sepak di rantau ini.

Sultan Abdullah telah membuat keputusan meletakkan jawatan baginda sebagai anggota majlis eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan anggota jawawankuasa eksekutif AFC, berikutan pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16, 31 Jan lepas.

“Bagi pihak seluruh keluarga bola sepak Asia, saya mahu menyatakan secara rasmi setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan sokongan tuanku terhadap bola sepak di rantau ini sejak sedekat lalu,” katanya seperti dalam hantaran di laman web AFC; www.the-afc.com, hari ini.

“AFC akan merindui kehadiran dan bantuan tuanku. Saya secara peribadi akan sentiasa menghargai usaha tidak berbelah bahagi Tuanku terhadap pembangunan pentadbiran profesional dan promosi permainan ini,” katanya lagi.

Shaikh Salman juga menyatakan keyakinan beliau yang Sultan Abdullah akan melaksanakan tugasnya sebagai Yang di-Pertuan Agong sebaiknya dan Malaysia akan terus berkembang dan maju di bawah pemerintahan baginda.

Sultan Abdullah yang terkenal dengan minatnya yang mendalam dan kepemimpinannya dalam bola sepak dan memegang beberapa jawatan dalam AFC termasuklah Timbalan Presiden dan juga jawatan lain termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC 2015 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Baginda yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 2014 hingga 2017, juga mempegerusikan pasukan petugas khas tadbir urus AFC, baru-baru ini.

— BERNAMA

scroll to top