Thursday , 15 November 2018

Home » Nasional » Afidavit Siti Rahayu arahan Peguam Negara

Afidavit Siti Rahayu arahan Peguam Negara

September 14, 2018 4:02 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Afidavit Siti Rahayu arahan Peguam Negara

PUTRAJAYA,. Mahkamah Rayuan di sini diberitahu bahawa arahan untuk membuat afidavit membabitkan peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima bayaran RM9.5 juta itu adalah daripada Peguam Negara Tommy Thomas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom ketika prosiding sebutan kes rayuan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memfailkan saman terhadap kerajaan berhubung perbicaraan kes liwatnya sebelum ini.

“Afidavit ini difailkan selepas terdapat bukti baharu dalam kes ini.

“Peguam Negara berpendapat bahawa beliau adalah pegawai mahkamah dan mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu kebenaran kepada mahkamah,” katanya.

Ia bagi menjawab soalan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Umi Kalthom Abdul Majid yang mempersoalkan afidavit baharu oleh pegawai khas dari Pejabat Peguam Negara, Siti Rahayu Mohd Mumazaini.

Umi Kalthom berkata beliau pelik dengan afidavit baharu itu dan bertanya sama ada ia difailkan untuk membatalkan saman Anwar.

Turut bersidang Datuk Yeoh Wee Siam dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Terdahulu mahkamah dimaklumkan oleh peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar bahawa pihaknya baru menerima notis usul daripada Muhammad Shafee yang memohon untuk menjadi pencelah dalam kes itu, pada jam kira-kira 4 petang semalam.

Oleh itu mereka memohon tarikh baharu untuk membolehkan pihaknya meneliti dokumen itu terlebih dahulu.

Mahkamah menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula dan 29 November depan bagi mendengar permohonan Muhammad Shafee untuk menjadi pencelah.

Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Sarah Abishegam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Pada 8 November tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan kerajaan.

Anwar memfailkan saman pemula itu pada 9 Jun 2017, mendakwa bahawa beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi meliwat.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa sabitannya yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014 adalah ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Dalam afidavitnya, Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitannya bagi meliwat.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Anwar atas alasan ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim Datin Azizah Nawawi memutuskan bahawa permohonan Anwar itu adalah tidak berasas dan tanpa sebarang keterangan sokongan.

Anwar sebelum disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

scroll to top