Friday , 20 July 2018

Home » Artikel Pilihan » Agenda pemerkasaan Melayu perlu perubahan jiwa, pemikiran

Agenda pemerkasaan Melayu perlu perubahan jiwa, pemikiran

July 4, 2018 7:49 am Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Agenda pemerkasaan Melayu perlu perubahan jiwa, pemikiran

TERAS amat bersetuju meneruskan agenda memperkasa bangsa Melayu seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Memang kenyataan bahawa jurang kekayaan antara kaum boleh mencetuskan konflik dan inilah yang pernah cuba diatasi melalui Dasar Ekonomi Baharu (DEB), iaitu untuk menghapuskan jurang kaya-miskin berdasarkan kaum.

Malangnya secara pelaksanaan, DEB gagal kerana gerak kerja yang dicampur tangan oleh politik yang menyebabkan hanya segelintir bangsa Melayu mendapat manfaat sebenar daripada DEB.

Pencapaian untuk meningkatkan kelas menengah orang Melayu masih jauh daripada sasaran. Kebanyakan orang Melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Malangnya antara gejala lebih parah yang masih gagal diatasi ialah sindrom kebergantungan bangsa Melayu. Mentaliti subsidi yang pernah hangat dibincang untuk memikirkan semula kecenderungan orang Melayu yang terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Selesa apa yang ada

Akibatnya muncul gejala hidup ‘complacent’, iaitu selesa dengan apa yang ada. Keadaan lebih berat apabila aset dan tanah orang Melayu terlepas tangan kerana dijual, tergadai atau diambil alih oleh kerajaan atas nama pembangunan.

Jika kerajaan mahu meneruskan agenda pemerkasaan Melayu, pendekatan lebih tertumpu kepada pembangunan potensi manusia perlu diberi perhatian.

Pembinaan sikap, jiwa dan pemikiran lebih kritikal untuk mengubah nasib bangsa Melayu perlu diperkukuhkan sebagai program teras pemerkasaan bangsa.

Agensi yang diwujudkan untuk mengurus program dan peruntukan dana pula perlu dibersihkan dengan drastik dari salah guna kuasa, penyelewengan, ketirisan dan rasuah.

Puluhan agensi Melayu telah diwujudkan dan berbilion dana dibelanjakan. Namun, kesan yang diperoleh untuk meningkatkan martabat ekonomi Melayu masih tidak sepadan.

MARA, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), FELCRA dan FELDA antara agensi besar yang diwujudkan sejak berpuluh-puluh tahun.

Kepincangan, ketirisan

Bagaimanapun, terlalu banyak kepincangan dan ketirisan sehingga nasib bangsa Melayu belum cukup berubah sepenuhnya.

Tambah parah lagi, gejala sosial terus melanda bangsa Melayu seperti dadah, judi, arak, rempit, bohsia, perceraian, buang anak dan pergaulan bebas yang membebankan Melayu untuk maju ke depan.

Jika semua isu berkenaan tidak diatasi dengan tegas, pemerkasaan bangsa Melayu hanya menjadi impian.

Pada peringkat dasar, kerajaan juga perlu berhati-hati kerana sehingga hari ini Malaysia masih terdedah kepada perjanjian perdagangan antarabangsa yang boleh menjejaskan kedudukan orang Melayu, khususnya dan Bumiputera amnya.

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang kini sedang diubah kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) masih mengikat Malaysia kepada syarat mengubah dasar perlindungan kepentingan bangsa Melayu di negara ini.

Walaupun TPP tidak berfungsi penuh selepas Amerika Syarikat menarik diri, Malaysia masih terus terdedah kepada tindakan perdagangan itu.

Ini disebabkan, kita dilaporkan sudah menandatangani perjanjian dan mengubah dasar berkaitan perlindungan kepentingan bangsa Melayu yang juga antara syarat dalam perjanjian.

Jika agenda pemerkasaan Melayu mahu benar-benar direalisasikan, organisasi dan agensi yang bergerak untuk memberi ruang dan peluang kepada bangsa Melayu meningkatkan taraf hidup mereka, hendaklah diperbaiki pengurusan masing-masing.

Orang Melayu akan tetap ketinggalan jika kepincangan dalam memimpin dan mengurus organisasi dan agensi tidak diperbaiki.

Penulis adalah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

BH

scroll to top