Friday , 21 June 2019

Home » Nasional » Agihan bantuan petani, nelayan lebih telus, adil

Agihan bantuan petani, nelayan lebih telus, adil

May 23, 2018 11:35 am Category: Nasional A+ / A-
Agihan bantuan petani, nelayan lebih telus, adil

SERDANG,. Kerajaan akan memastikan agihan bantuan kepada petani dan nelayan dilaksanakan secara lebih telus dan adil bagi memastikan bantuan itu diterima mereka yang layak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, berkata kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan bersikap ‘pilih bulu’ atau mengambil kira faktor latar belakang politik dalam memberi bantuan sehingga menyebabkan golongan memerlukan tidak mendapat manfaat daripada bantuan itu.

Katanya, dasar itu juga akan dilakukan dalam pemberian projek dan geran di bawah kementeriannya bagi memastikan masalah ketirisan dan rasuah tidak berlaku.

“Segala agenda atau perancangan yang bakal dilaksanakan kita selepas ini tidak akan lagi melihat kepada warna parti politik tetapi dilihat dan dikaji berdasarkan prestasi petani dan nelayan itu sendiri.

“Saya difahamkan ada pelbagai kes seperti ini, malah ada juga nelayan yang menerima bantuan untuk nelayan tetapi tidak pernah langsung turun ke laut,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai menteri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Salahuddin yang memulakan hari pertamanya di kementerian itu hari ini, tiba di MAEPS pada jam 2.25 petang dengan diiringi Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Ketibaannya disambut ketua jabatan sebelum menghadiri taklimat tertutup bersama pengurusan tertinggi kementerian.

Menyentuh mengenai aspek sekuriti makanan, Salahuddin berkata perkara itu sememangnya menjadi keutamaan dan beliau akan menambah baik dasar sedia ada termasuk menyemak kembali kertas kerja berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

“NFCorp mempunyai matlamat yang baik dengan meningkatkan pengeluaran daging lembu negara tetapi ada penyelewengan. Kementerian telah mengenal pasti beberapa tanah di Negeri Sembilan dan Johor yang sesuai untuk meneruskan projek ini.

“Kita mungkin boleh runding balik dengan kerajaan negeri dan teruskan projek itu sekiranya perlu,” katanya.

Salahuddin berkata antara agenda utama yang bakal dilaksanakannya adalah bagi memastikan sistem pengurusan dan penyampaian dasar kementerian itu lebih efisien dan teratur.

Beliau berkata Malaysia boleh belajar daripada kejayaan negara jiran seperti Thailand yang mempunyai kemahiran teknologi dan pengurusan baik dalam bidang pertanian.

– BERNAMA

scroll to top