Saturday , 17 November 2018

Home » Nasional » Agong kurnia biasiswa kepada 12 pelajar

Agong kurnia biasiswa kepada 12 pelajar

July 12, 2018 6:33 am Category: Nasional A+ / A-
Agong kurnia biasiswa kepada 12 pelajar

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan mengurniakan Bia­siswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) bagi sesi 2018/2019 kepada 12 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara di sini.

Kesemua penerima biasiswa, yang dipilih oleh Jawatankuasa BYDPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu, melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi, undang-undang, sains dan teknologi di universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Enam penerima biasiswa bagi peringkat sarjana ialah Muhammad Adli Amirullah, pelajar bidang Ekonomi di Universiti Malaya; Muhammad Izzat Luqman Shahdan (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Imperial College London, United Kingdom (UK); Illa Syafiqah Johari (Farmakologi, Universiti Sains Malaysia (USM); Nurhasliza Zolkefli (Bioteknologi, Universiti Putra Malaysia); Gregory Domnic (Bioteknologi, USM) dan Long Zulkarnaen Long Zainudin (Kejuruteraan Lanjutan Mekanikal dan Sistem Kawalan, Imperial College London).

Enam penerima bagi pengajian PhD pula ialah Yong Bang Xiang (Kejuruteraan Pembuatan, University of Cambridge, UK); Fatin Najiah Mohd Idrus (Fisiologi, USM); Raif Rafideen Norisam (Fizik, University College London, UK); Koh Kim Jie (Kejuruteraan Awam, University of Cambridge, UK); Ng Wei Kuan ( Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia) dan On Yue Yuan (Biologi, University of Cambridge).

Sejak diperkenalkan pada 2006, sehingga kini seramai 153 pelajar telah menerima BYDPA iaitu 76 pelajar di peringkat Sarjana manakala 77 pelajar di peringkat PhD.

BYDPA diperkenalkan bagi mengiktiraf kebolehan luar biasa pelajar, di samping memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan PhD di dalam atau luar negara.

Seorang daripada penerima, Gregory, 23, dari Perak berkata biasiswa yang diterimanya akan dimanfaatkan sebaiknya selama dua tahun pengajian.

“Saya sangat bersyukur mendapat biasiswa ini, memang saya idamkan untuk mendapat biasiswa ini sejak pengajian peringkat ijazah lagi…syukur, Tuhan makbulkan doa saya, boleh saya gunakan untuk menampung kos sara hidup dan pengajian di universiti.”

“Bidang pengkhususan saya ialah penyelidikan kanser dengan menggunakan produk semula jadi, saya akan mencari penawar terbaik untuk merawat pelbagai jenis penyakit kanser di negara ini…inilah masanya untuk saya berkhidmat kepada masyarakat,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

— BERNAMA

scroll to top