Monday , 20 May 2019

Home » Nasional » Agong mahu warga ATM sentiasa pamer profesionalisme, disiplin

Agong mahu warga ATM sentiasa pamer profesionalisme, disiplin

March 17, 2019 8:14 am Category: Nasional A+ / A-
Agong mahu warga ATM sentiasa pamer profesionalisme, disiplin

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mempamerkan sikap profesionalisme dan disiplin yang tinggi.

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mempamerkan sikap profesionalisme dan disiplin yang tinggi.

Pemerintah Tertinggi ATM itu bertitah sebagai sebuah organisasi berkecuali, profesionalisme ATM diterjemahkan melalui prinsip taat setia kepada raja dan negara.

“Inilah menjadi asas utama kepada sebuah angkatan tentera yang disanjung tinggi dan dihormati sekalian rakyat.

“Jangan sekali-kali meruntuhkan benteng disiplin dan profesionalisme yang telah dibina oleh ribuan pejuang negara sebelum ini,” titah Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2019 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini

Sultan Abdullah mengingatkan bahawa jika benteng itu runtuh, ia akan merosakkan etos ketenteraan dan akhirnya negara dan rakyat akan menerima padah.

Yang di-Pertuan Agong seterusnya bertitah dalam menggalas amanah sebagai benteng utama pertahanan negara, ATM tidak boleh terus kekal statik dan berterusan mengamalkan pembudayaan minda yang masih di tahap lama.

Dunia kini, titah Seri Paduka, berhadapan dengan pelbagai ancaman sama ada ancaman tradisional, ancaman hibrid mahupun ancaman di alam maya.

“Pada hemat beta, ATM hendaklah sentiasa melakukan pembaharuan melalui pelan transformasi yang terancang,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah ini bagi membolehkan ATM dapat bergerak seiring dengan pelbagai ancaman serta cabaran dunia yang mendatang.

“Transformasi dimaksudkan mesti berpandukan kepada dasar negara yang ditentukan melalui persepsi terhadap cabaran domestik, geopolitik serantau dan antarabangsa serta faktor sistemik,” titah Sultan Abdullah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka berkenan menyampaikan watikah pentauliahan kepada 504 pegawai kadet ATM yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan institusi pengajian tinggi awam lain.

— BERNAMA

scroll to top