Friday , 17 August 2018

Home » Dewan Negara » Ahli Parlimen tak angkat sumpah mungkin hilang kelayakan

Ahli Parlimen tak angkat sumpah mungkin hilang kelayakan

July 19, 2018 7:21 am Category: Dewan Negara, Dewan Rakyat, Nasional A+ / A-
Ahli Parlimen tak angkat sumpah mungkin hilang kelayakan

KOTA KINABALU,. Ahli Parlimen yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat kelmarin, berdepan kemungkinan hilang kelayakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, berkata mereka mungkin hilang kelayakan dalam tempoh enam bulan bermula 16 Julai lalu, jika gagal mengangkat sumpah.

“Ahli Parlimen yang dipilih, yang tidak mengangkat sumpah pada Isnin lalu, mungkin hilang kelayakan dalam tempoh enam bulan dari 16 Julai sekiranya mereka gagal untuk mengangkat sumpah seperti mana termaktub di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Kelmarin, Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, yang juga anak bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman gagal hadir di Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh telah menghantar notis yang menyatakan beliau ketika ini cuti sakit selama sebulan.

“Dewan Rakyat akan membuat sesi lain untuk Muhyiddin mengangkat sumpah.

“Bagi Ahli Parlimen Sipitang, kita tidak menerima sebarang pemberitahuan menerusi surat mengenai sebab beliau tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah pada Isnin,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan, Yamani Hafez yang juga Ketua Pemuda UMNO Sabah tidak hadir bagi upacara mengangkat sumpah di Dewan Rakyat kelmarin kerana dipercayai berada di luar negara.

Beberapa pemimpin Pemuda UMNO negeri percaya beliau kini berada di London, kemungkinan bersama bapanya.

Pemimpin UMNO serta Pemuda UMNO Sabah mengakui kali terakhir berjumpa Yamani Hafez ialah di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu sebelum Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, dua hari kemudian Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas mendapat sokongan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

scroll to top