Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » Ahli politik Sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat – Adiba

Ahli politik Sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat – Adiba

December 8, 2017 8:27 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Ahli politik Sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat – Adiba

Pemimpin politik mentaliti kelas ketiga

KUALA LUMPUR: Pemimpin politik mentaliti kelas ketiga dengan gambaran personaliti buruk menghina Melayu, suka bergaduh dan berebut jawatan, bakal melahirkan pemimpin rakyat dengan pemikiran seumpamanya.

Timbalan Presiden Badan Perhubungan Negara United Kingdom, Kelab UMNO Luar Negara, Adiba Abd Aziz, berkata tindakan ahli politik akan menjadi teladan kepada rakyat dan pemimpin pelapis.

“Kami memandang serius pergaduhan sesama ahli politik dalam parti. Sebagai orang muda, kita akan tengok orang atas (pemimpin), kalau mereka bergaduh kita pun akan bergaduh.

“Justeru, mesej yang kerap diulang pada perhimpunan kali ini adalah jelas dan menarik perhatian kami.

“Sebagai pemimpin luar negara, apa yang kami mahukan adalah perdamaian antara ahli politik dalam parti,” katanya.

Beliau bercakap pada Program Bual Bicara Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) bertajuk ‘UMNO: Apa kata orang muda?’ yang dikendalikan Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) BH, Kadir Dikoh.

Adiba berkata, kerajaan wajar mendekati orang muda dengan mengadakan lebih banyak sesi pertemuan untuk menjelaskan sumbangan UMNO kepada pembangunan negara, selain kedudukan UMNO yang masih relevan memimpin negara.

Katanya, rakyat Malaysia di luar negara bergantung pada berita daripada media sosial untuk mengikuti perkembangan semasa tanah air.

“Saya sendiri dikelilingi kawan-kawan yang mengikuti perkembangan parti di negara ini menerusi media sosial. Mereka runsing, tidak tahu mahu pilih parti mana.

“Justeru, saya pentingkan aspek belia dan celik politik. Pengetahuan politik perlu diajar dan disebarkan kepada semua lapisan, bukan golongan muda saja.

“Apabila tiba masa kami menjadi pemimpin, kami tidak mahu parti retak dan berbalah. Kita hidup dalam demokrasi untuk masa yang lama. Kita mahu parti yang damai, berintegriti dan membawa negara ke pentas dunia,” katanya.

Adiba berkata, rakyat Malaysia di luar negara mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem undi dalam talian seperti dilaksanakan di beberapa negara maju termasuk United Kingdom.

scroll to top