Friday , 17 August 2018

Home » Dunia » Air China didenda susulan juruterbang hisap vape

Air China didenda susulan juruterbang hisap vape

July 18, 2018 6:04 pm Category: Dunia A+ / A-
Air China didenda susulan juruterbang hisap vape

737 Air China

SHANGHAI: Pihak berkuasa China mengurangkan jumlah penerbangan pesawat 737 milik Air China dan menarik balik lesen penerbangan kru kokpit yang terbabit dalam kecemasan dalam penerbangan yang dicetuskan asap rokok elektronik dihisap pembantu juruterbang, lapor media hari ini.

Paras ketinggian pesawat Air China 737 menurun mendadak minggu lalu selepas pembantu juruterbang tersilap mematikan sistem pendingin udara dalam usaha menyembunyikan asap rokok elektronik yang dihisapnya.

Kejadian itu menyebabkan topeng oksigen dikeluarkan dalam penerbangan dari Hong Kong ke bandar raya Dalian di China.

Pentadbiran Penerbangan Sivil China (CAAC) mengurangkan penerbangan 737 syarikat berkenaan sehingga 10 peratus dan mengarahkan ia menjalani pemeriksaan keselamatan menyeluruh selama tiga bulan, lapor stesen penyiar China Central Television (CCTV).

Pemantau penerbangan juga mendenda syarikat itu sebanyak 50,000 yuan (RM30,461).

Pesawat Boeing 737 merangkumi lebih 40 peratus kapal terbang Air China menjelang akhir tahun lalu, menurut laporan syarikat itu.

CAAC berkata, kejadian berlaku apabila juruterbang yang cuba menghalang asap rokok elektronik daripada tersebar ke dalam kabin, secara tidak sengaja mematikan pendingin udara.

Ia membawa kepada penurunan paras oksigen dalam kabin yang menyebabkan sistem amaran kecemasan berfungsi menunjukkan jet itu terbang terlalu tinggi dan mengarahkan juruterbang segera menurunkan paras ketinggian.

Media China memetik penumpang dan laman pengesan pesawat sebagai berkata kapal terbang turun mendadak sehingga beberapa ribu meter.

– AFP

scroll to top