Friday , 26 April 2019

Home » Nasional » Air percuma: Selangor masih teliti senarai yang layak

Air percuma: Selangor masih teliti senarai yang layak

March 26, 2019 8:03 am Category: Nasional A+ / A-
Air percuma: Selangor masih teliti senarai yang layak

Pelaksanaan program itu melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk jutawan sedangkan tujuan asal projek ialah untuk membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah. - Foto Freeimages.com

SHAH ALAM,. Kerajaan Selangor masih pada peringkat menyemak semula senarai mereka yang menerima bekalan air percuma bagi memastikan hanya golongan sasaran berpendapatan rendah menikmatinya.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata pada masa ini, pelaksanaan program itu melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk jutawan sedangkan tujuan asal projek ialah untuk membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

“Pelaksanaan program ini diteliti secara bersekali dengan program Inisiatif Peduli Rakyat, justeru bilangan keluarga yang layak masih belum dapat diputuskan dan kerajaan negeri tidak akan meminggirkan mana-mana penerima yang layak,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.

Katanya subsidi air percuma bagi 20 meter padu itu nilainya bersamaan RM11.40 dan melalui penjajaran semula, pemberian akan dinaikkan kepada 25 meter padu bersamaan RM16.55.

Sementara itu, Amirudin berkata penduduk Selangor sekarang mungkin perlu membayar tarif air pada kadar RM3.15 bagi satu meter padu berbanding RM1.39 sekiranya kerajaan negeri tidak diambil alih oleh pakatan pada 2008.

Ini kerana katanya berdasarkan perjanjian konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) selepas mengambil alih operasi daripada Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) pada 1 Jan 2006, kenaikan tarif adalah setiap tiga tahun.

“Dengan mengambil kira lima kali kenaikan tarif seperti dalam Perjanjian Konsesi Syabas, rakyat akan dibebani dengan kenaikan kadar tarif sebanyak 227 peratus lebih tinggi berbanding tarif yang sedang dinikmati sekarang,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata kerajaan negeri masih meneliti cadangan pelarasan kadar tarif air yang dikemukakan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Menyifatkan kadar tersebut terlalu tinggi iaitu meningkat hampir 50 peratus berbanding kadar semasa, Amirudin berkata kerajaan negeri harus memastikan pelarasan tarif baharu tidak membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.

— BERNAMA

scroll to top