Thursday , 25 April 2019

Home » Bisnes » AirAsia naik taraf sistem tempahan

AirAsia naik taraf sistem tempahan

February 11, 2019 12:43 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
AirAsia naik taraf sistem tempahan

SEPANG,. AirAsia akan menaik taraf sistem tempahan Navitaire New Skies hujung minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memberi pengalaman dalam talian lebih baik kepada pelanggan.

“Penempahan penerbangan tidak disediakan dalam tempoh ini dari 2 petang (GMT +8) pada 16 Februari 2019 hingga 3 pagi pada 17 Februari, di airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia, pejabat jualan AirAsia, kaunter dan pusat panggilan.

“Pelanggan juga tidak akan dapat melakukan pemeriksaan diri melalui laman web, aplikasi mudah alih dan kiosk lapangan terbang atau menguruskan tempahan mereka sehingga kerja naik taraf itu selesai,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

AirAsia menasihatkan semua pelanggan yang terbang semasa tempoh itu mendaftar masuk dalam talian lebih awal daripada tempoh naik taraf dan mencetak pas masuk masing-masing, atau menggunakan pas E-Boarding jika ada.

Ia berkata, daftar masuk web dan mudah alih boleh didapati 14 hari sebelum berlepas untuk semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

Pelanggan juga digalakkan berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan bagi mengelakkan sebarang kesulitan perjalanan, tambahnya. – BERNAMA

scroll to top