Sunday , 16 December 2018

Home » Bisnes » AirAsia rancang tubuh operasi di Vietnam

AirAsia rancang tubuh operasi di Vietnam

December 6, 2018 6:09 pm Category: Bisnes, Dunia A+ / A-
AirAsia rancang tubuh operasi di Vietnam

Tan Sri Tony Fernandes.Menurutnya syarikat penerbangan itu kini menawarkan perkhidmatan penerbangan ke lima destinasi di Vietnam.

KUALA LUMPUR,. AirAsia dan Thien Minh Travel Joint Stock Company (TMG) memeterai Memorandum Kerjasama untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang rendah dengan rakan kongsi tempatan di Vietnam, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata memorandum yang dimeterai hari ini mengesahkan komitmen kumpulan untuk menawarkan perkhidmatan di negara berkenaan.

“AirAsia sudah menjadi kumpulan syarikat penerbangan asing terbesar di Vietnam dari segi kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya syarikat penerbangan itu kini menawarkan perkhidmatan penerbangan ke lima destinasi di Vietnam.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengendalikan 141 penerbangan pergi balik dalam seminggu di 13 laluan, menghubungkan Hanoi, Ho Chi Minh, Da Nang, Nha Trang dan Phu Quoc dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu di Malaysia, Bangkok dan Chiang Mai di Thailand dan Manila di Filipina.

Sementara itu, dalam satu acara berasingan, AirAsia memeterai perjanjian bersama Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) yang membolehkan lebih 5,000 ejen dan perunding hartanah yang berdaftar bersama MIEA akan menikmati keistimewaan AirAsia MyCorporate seperti fleksibiliti perubahan penerbangan, tambahan penting untuk lebih keselesaaan, lebih penjimatan dengan tambang korporat tergabung, mata ganjaran AirAsia BIG dan sokongan pelanggan korporat.

Ketua Jualan Korporat Kumpulan AirAsia, Alex Tan Heng Lay, berkata syarikat berbesar hati kerana dapat meningkatkan operasi perniagaan MIEA dengan membantu ahlinya menikmati perjalanan lebih lancar dan mengurangkan kos perjalanan perniagaan melalui keistimewaan MyCorporate di Malaysia yang sehingga kini menerima kehadiran 5,000 hingga 6,000 pelanggan perniagaan.

“Sebagai syarikat penerbangan yang beroperasi di rantau ini, ahli MIEA juga mendapat manfaat dari rangkaian meluas kami di 10 negara Asean sekali gus terus membantu merangsang pertumbuhan serantau,” katanya.

MyCorporate adalah rangkaian produk eksklusif untuk penumpang perniagaan membabitkan tiga pilihan pakej iaitu Fare Only, Corporate Lite dan Corporate Full Flex yang bergantung kepada keperluan penumpang dan belanjawan syarikat.

scroll to top