Tuesday , 24 April 2018

Home » Dewan Rakyat » Akta lupus kenderaan terbiar siap tiga tahun

Akta lupus kenderaan terbiar siap tiga tahun

March 22, 2018 1:55 pm Category: Dewan Rakyat A+ / A-
Akta lupus kenderaan terbiar siap tiga tahun

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR: Undang-undang berkaitan pengurusan kenderaan terbiar, termasuk membolehkannya dirampas untuk dilupuskan, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata dua jawatankuasa ditubuhkan bagi mengkaji keperluan mewujudkan dasar berkaitan serta bagi menggubal undang-undang khusus menangani masalah kenderaan terbiar.

Katanya, kajian itu membabitkan kerjasama antara lima pihak iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Isu kenderaan terbiar ini mendapat perhatian ramai. JPM maklumkan kepada saya bahawa kira-kira 6,000 aduan dari lapan kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor diterima daripada orang awam berhubung masalah ini.

“Kementerian menyedari mengenai isu ini kerana ia membahayakan kepada pengguna, selain menjurus kepada pembiakan nyamuk termasuk Aedes, mengganggu kawasan parkir awam, selain memiliki bahan toksik yang boleh mendatangkan pencemaran alam sekitar.

“Hasil mesyuarat antara semua kementerian berkaitan hari ini, kami bersetuju menubuhkan kumpulan kerja yang akan membincangkan isu ini lebih mendalam serta mencadangkan dasar dan kaedah pengurusan kenderaan terbiar kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique dan Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong.

Wan Junaidi berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu perlu berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dalam menentukan lokasi untuk menempatkan kereta terbiar yang dirampas serta kaedah pengurusannya.

Ditanya sama ada undang-undang yang bakal digubal itu mengambil kira denda kepada pemilik kenderaan terbiar, Wan Junaidi berkata perkara itu dibincangkan.

“Kita juga bincangkan mengenai persoalan jika pemilik tidak mampu untuk membaiki kenderaan atau memperbaharui cukai jalan (menyebabkan ia terbiar), namun pemiliknya masih mahukan kenderaan itu.

“Jika kenderaan itu ditarik, adakah pemilik berhak menerima pampasan atau imbuhan. Ini akan difikirkan,” katanya.

Pada November tahun lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, sebanyak kira-kira lapan juta kenderaan rosak dan terbiar dilaporkan berada di tepi jalan, kawasan tempat letak kenderaan serta lokasi lain.

scroll to top