Monday , 21 May 2018

Home » Bencana » Akui silap siar laporan gempa

Akui silap siar laporan gempa

April 20, 2018 10:46 am Category: Bencana, Dunia A+ / A-
Akui silap siar laporan gempa

BEIJING,. Bahagian pengurusan gempa bumi China hari ini mengaku tersilap menyiarkan laporan berhubung dua kejadian gempa bumi kuat yang sebenarnya tidak pernah berlaku.

Pengurusan berkenaan dalam satu kenyataan di laman web berkata, laporan itu adalah sebahagian daripada latihan dan ia tidak seharusnya disiarkan untuk pengetahuan umum.

Lewat malam tadi, laman web pengurusan itu menyiarkan laporan dua kejadian gempa bumi dengan magnitud 6.5 selang 10 saat di wilayah Xinjiang dan barat daya wilayah Yunnan.

Laporan berkenaan berada di laman web itu sekurang-kurangnya selama sejam, walaupun tidak disiarkan di blog mereka, menyebabkan ia sampai kepada pengetahuan ramai rakyat negara itu.

Menurut pengurusan berkenaan, ia adalah sebahagian daripada latihan kecemasan yang diadakan.

“Dua laporan kejadian gempa bumi telah disiarkan secara tidak sengaja semasa latihan kecemasan dan disiarkan oleh media, menyebabkan berlakunya salah faham.

“Selepas ia berlaku, jabatan kami dengan serta merta telah mengarahkan pihak yang berkenaan untuk memadamkan maklumat tidak tepat itu,” kata pengurusan terbabit dalam satu kenyataan.

China memiliki pergerakan seismik yang aktif dan terdedah kepada ancaman gempa bumi.

– Reuters

scroll to top