Sunday , 26 May 2019

Home » Nasional » Al-Sultan Abdullah terpahat di hati rakyat negeri Melaka

Al-Sultan Abdullah terpahat di hati rakyat negeri Melaka

May 18, 2019 4:58 am Category: Nasional A+ / A-
Al-Sultan Abdullah terpahat di hati rakyat negeri Melaka

MELAKA,. Semalam, akaun media sosial warga maya negeri ini dipenuhi dengan visual Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Pasar Ramadan Peringgit di sini.

Sifat ramah dan bersahaja Seri Paduka berdua beramah mesra malah berkenan berswafoto dengan rakyat yang mengunjungi Pasar Ramadan itu menjadi sebutan ramai membuatkan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah terpahat di hati rakyat negeri Melaka.

Seri Paduka berdua dalam lawatan selama dua hari ke negeri ini yang berakhir hari ini, dimulakan dengan menerima sembah menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebelum bersama rakyat di Pasar Ramadan Peringgit.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah juga berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 2,000 rakyat negeri Melaka semalam, sebelum menunaikan solat Maghrib bersama-sama hadirin di majlis berkenaan.

Hari ini ketika bertitah pada Majlis Sembah Taklimat Majlis Agama Islam Melaka, Sultan Abdullah bertitah mengenai hasratnya hendak menganjurkan majlis perbincangan bagi mengukuhkan pentadbiran institusi agama Islam pada 18 Jun ini.

Menarik perhatian para hadirin, Sultan Abdullah berkenan menjemput hadirin hadir majlis perbincangan itu dan menjamu makan tengah hari sambil berseloroh Seri Paduka mempunyai ‘executive chef’ baharu di Istana Negara iaitu Tunku Azizah Aminah Maimunah mengundang senyuman mereka yang hadir.

Tunku Azizah Aminah Maimunah sememangnya terkenal dalam kalangan rakyat negara ini dengan kehebatan memasak, malah ketika melawat Pasar Ramadan Peringgit semalam turut berkenan berkongsi pendapat dengan peniaga tentang masakan mereka.

Pantun merupakan sesuatu yang tidak lekang dalam kehidupan rakyat negeri ini dan pantun Sultan Abdullah pada majlis itu membuatkan rakyat Melaka merasakan semakin dekat dengan Seri Paduka. Pantun itu berbunyi:

“Bunga seroja bunga cempaka,

Dipakai isteri-isteri jelita,

Siapa tidak kenal negeri Melaka,

Warisan sejarah kebangaan negara.”

Sultan Abdullah hari ini juga berkenan merasmikan Masjid Jamek Putra di Alor Gajah yang dimasyhurkan sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah sempena nama Seri Paduka, membuatkan nama Seri Paduka terpahat di hati rakyat negeri ini.

Seri Paduka pada majlis itu bertitah negeri-negeri lain khususnya Pahang perlu mencontohi pembangunan yang ditonjolkan Melaka demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat, malah memuji keramahan yang ditunjukkan rakyat Melaka sepanjang dua hari lawatan kerja Seri Paduka.

Sekali lagi Sultan Abdullah menambat hati rakyat negeri Melaka dengan pantunnya pada majlis itu yang berbunyi :

“Kapal dagang dari Pahang,

Penuh muatan kayu meranti,

Datang ke Melaka bukan sebarang,

Saya datang nak bersalam salaman dengan rakyat negeri ini.”

‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ mungkin kata-kata yang paling cocok menggambarkan hubungan mesra dan rapat dirasakan rakyat negeri ini dengan Sultan Abdullah.

— BERNAMA

scroll to top