Thursday , 13 December 2018

Home » Nasional » Alasan Tun M melucukan – Lokman

Alasan Tun M melucukan – Lokman

January 13, 2018 7:30 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Alasan Tun M melucukan – Lokman

Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR,. Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya mencadangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon perdana menteri jika benar beliau enggan memegang kembali jawatan nombor satu negara itu jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Panel Pemikir Biro Penerangan UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, berkata amat melucukan apabila Dr Mahathir yang mengidam kerusi perdana menteri, tiba-tiba mendakwa beliau tidak mahukan jawatan berkenaan, sebaliknya memberi alasan dipaksa pemimpin pakatan pembangkang.

Katanya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu perlu berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ramai membuat tafsiran beliau ingin mencipta sejarah sebagai perdana menteri tertua di dunia selain mahu menyelamatkan kedudukan anak dan kroninya.

“Jika benar Dr Mahathir dipaksa, umumkan sahaja Azmin sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang kerana faktor usianya yang lebih muda dan berpengalaman mentadbir Selangor.

“Saya tidak fikir Azmin akan tolak (cadangan itu). Ia berdasarkan maklum balas negatif keluarga dan penyokong beliau (Azmin) satu atau dua hari ini selepas Dr Mahathir diumumkan sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir pada satu majlis di Pontian, Johor, mendakwa beliau tidak mahu menjadi perdana menteri jika pakatan pembangkang menawan Putrajaya, sebaliknya diminta untuk menjawat jawatan itu sekiranya pembangkang menang PRU-14.

Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa beliau sebenarnya mahu berehat, namun tidak dapat berbuat demikian sejak menyerahkan jawatan itu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kemudian didakwanya ‘buat kacau’.

Lokman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, berkata Dr Mahathir harus sedar yang pemilihan beliau sebagai calon perdana menteri pembangkang tidak dilakukan secara konsensus, malah mendapat bantahan daripada kepemimpinan PKR.

scroll to top