Thursday , 13 December 2018

Home » Bisnes » Aliran masuk dana asing tertinggi sejak Mac 2017

Aliran masuk dana asing tertinggi sejak Mac 2017

January 8, 2018 5:05 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Aliran masuk dana asing tertinggi sejak Mac 2017

KUALA LUMPUR,. Pembelian ekuiti di Bursa Malaysia oleh pengurus dana asing melonjak kepada RM915.1 juta pada minggu pertama 2018.

I adalah aliran masuk dana asing bersih mingguan terbesar yang direkodkan sejak Mac 2017.

Menurut laporan aliran dana MIDF Research, jumlah itu meningkat daripada RM165.1 juta pada minggu sebelumnya.

Pada minggu lalu pelabur asing adalah pembeli bersih di semua empat hari dagangan, meneruskan senario berkenaan bagi sembilan hari berturut-turut dari 22 Disember hingga 5 Januari.

“Kali terakhir senario belian harian lebih lama daripada tempoh itu adalah pada 20 April 2017 hingga 15 Mei 2017 selama 16 hari.

“Pembelian asing meningkat pada Khamis apabila pelabur asing meraih RM316.1 juta bersih, paras yang tidak pernah dicapai sejak 28 April 2017,” menurut laporan itu.

Menurut MIDF Research, pembelian asing yang kukuh pada Khamis melonjak Bursa Malaysia untuk ditutup di atas paras 1,800 buat kali pertama dalam tempoh dua tahun setengah, diketuai keuntungan dalam saham Sime Darby yang menokok 11.2 peratus.

“Harga minyak mentah Brent juga memainkan peranan dalam mengekalkan keyakinan terhadap Bursa Malaysia pada Khamis lalu.

“Pada Jumaat, FBM KLCI meneruskan peningkatan untuk mengakhiri minggu lalu pada 1,818 mata walaupun beberapa penarikan dana asing masuk kepada RM130.1 juta bersih berikutan sentimen risiko didorong oleh eksport Malaysia yang meningkat sebanyak 14.4 peratus tahun ke tahun pada November 2017, nilai eksport tertinggi yang pernah dicatatkan pada bulan berkenaan.

“Jika kita lihat kepada penyertaan asing, pelabur asing kelihatan sangat aktif selepas kembali daripada cuti hujung tahun,” menurut MIDF Research.

Nilai dagangan harian purata asing (ADTV) meningkat sebanyak 127 peratus kepada RM1.26 bilion berbanding RM556 juta yang dicatatkan pada minggu terakhir 2018.

Pasaran runcit juga positif apabila ADTV peruncitan meningkat sebanyak 62 peratus daripada RM1.2 bilion pada minggu sebelumnya kepada RM1.9 bilion minggu lalu.

Sime Darby mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi sebanyak RM5.67 juta minggu lalu.

Sementara CIMB Group mencatatkan aliran masuk bersih kedua lebih tinggi sebanyak RM4.9 juta manakala Sime Darby Plantation menyaksikan aliran masuk bersih ketiga tertinggi sebanyak RM3.37 juta.

scroll to top