Friday , 17 August 2018

Home » Nasional » Amaran Mat Sabu terhadap pemfitnah

Amaran Mat Sabu terhadap pemfitnah

August 11, 2018 3:36 pm Category: Nasional A+ / A-
Amaran Mat Sabu terhadap pemfitnah

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR,. Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberi amaran kepada pihak yang cuba memfitnah dirinya berhubung tugasnya di Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, dirinya tidak boleh menerima sekiranya ada fitnah atau berunsurkan fitnah dilemparkan kepadanya.

“Saya berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang mengkritik, menegur bahkan mengecam prestasi saya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia.

“Saya menerima kritikan daripada bekas Perdana Menteri, bekas Menteri Pertahanan dan bekas Menteri Belia dan Sukan, baru-baru ini, terhadap saya dan Kementerian Pertahanan sebagai satu teguran untuk menilai dan memperbaiki prestasi serta kesungguhan menerajui kementerian ini.

“Akan tetapi, saya tidak boleh terima sekiranya fitnah atau unsur fitnah dilemparkan terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, kritikan dan pandangan sinis adalah perkara biasa yang perlu diambil perhatian sebagai menteri atau pemimpin sesebuah organisasi yang besar.

Sebelum ini, Mohamad dikritik oleh pelbagai pihak selepas membuat kenyataan berhubung keupayaan aset ketenteraan yang dimiliki Malaysia.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (PH-PKR Port Dickson) yang meminta penjelasan berhubung isu peruntukan dan pertahanan, beliau berkata, cabang aset darat, laut dan udara semasa Malaysia berada di kedudukan terbawah dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Sebelum itu, beliau turut dikritik apabila mendedahkan hanya empat daripada 28 pesawat pejuang buatan Russia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mampu terbang, kenyataan yang dianggap membocorkan maklumat sensitif pertahanan negara.

scroll to top