Sunday , 22 October 2017

Home » Nasional » Ancaman Ransomware Wannacry boleh dipulihkan

Ancaman Ransomware Wannacry boleh dipulihkan

June 13, 2017 2:37 pm Category: Nasional, Teknologi A+ / A-
Ancaman Ransomware Wannacry boleh dipulihkan

CONTOH ugutan siber Ransomware yang dipaparkan di skrin komputer atau telefon pintar selepas diceroboh.

SERI KEMBANGAN: CyberSecurity Malaysia mengumumkan penemuan kaedah pemulihan data akibat jangkitan serangan Ransomware Wannacry.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata pengguna internet yang terjejas dengan serangan itu kini boleh mendapatkan semula fail asal daripada jangkitan berkenaan.

Katanya, penemuan itu adalah hasil usaha Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) selepas menjalankan banyak ujian sebelum menemui penyelesaian berkenaan.

“Sebelum kita mengumumkan MyCERT sudah melakukan lebih 30 ujian sebelum menemui penyelesaian yang kita yakin sepenuhnya dapat mendapatkan kembali fail asal komputer yang terjejas.

“Bagaimanapun, kaedah pemulihan data atau fail ini hanya boleh digunakan untuk jangkitan Ransomware Wannacry saja dan tidak dapat dilakukan untuk jangkitan Ransomware jenis lain,” katanya. Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai penemuan berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, pengguna internet yang terjejas kini boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai kaedah terbabit di laman sesawang agensi itu di https://www.mycert.org.my/en/services/advisories/mycert/2017/main/detail…. “Jika memerlukan bantuan, hubungi talian 1300882999 untuk kita ajar cara mendapatkan kembali fail yang sudah dikunci secara percuma.

“Selain itu, pengguna juga boleh terus datang ke pejabat kita di sini untuk dibaik pulih oleh pegawai kita.

Caj perkhidmatan akan dikenakan antara RM400-RM600 untuk satu komputer bergantung kepada saiz data.

“Kita memerlukan masa sehingga 24 jam untuk berbuat demikian,” katanya.

Serangan Ransomware Wannacry melanda dunia pada 12 Mei lalu dan menjejaskan lebih 200,000 sistem komputer di lebih 100 negara dengan tiga kes dilaporkan di Malaysia.

scroll to top