Thursday , 19 July 2018

Home » Nasional » Anggota Parlimen Batu sertai PKR

Anggota Parlimen Batu sertai PKR

May 14, 2018 10:45 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Anggota Parlimen Batu sertai PKR

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Batu P. Prabakaran yang menang atas tiket bebas yang direstui Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), pada Ahad sah menyertai parti itu.

Perkara itu diumumkan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Batu di sini.

Prabakaran, 22, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya impiannya untuk menjadi anggota parti itu tercapai.

“Saya sangat bangga, saya memang ada rancangan untuk menyertai PKR sebelum ini dan pernah memasang angan-angan untuk menyertai Suara Pemuda Keadilan.

“Pada mulanya saya hanya mahu menjayakan aspirasi pemuda-pemuda di Batu sebab itulah saya mahu bertanding di sini namun apabila PKR memberi sepenuh sokongan, saya lebih bersemangat untuk berjuang,” katanya kepada pemberita semalam.

Prabakaran, turut berhasrat untuk memperjuangkan hak mahasiswa untuk menyertai politik dan memiliki hak kebebasan bersuara.

Prabakaran berjaya memadamkan rekod 41 tahun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini menjadi wakil rakyat termuda pada usia 23 tahun apabila menang kerusi Parlimen Pekan pada 21 Februari 1979.

Pada PRU14, Prabakaran memperolehi 38,125 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mendapat undi 13,687 , calon Pas, Azhar Yahya (10,610) dan seorang lagi calon Bebas, Datuk V M Panjamothy (383).

Kemenangan Prabakaran dibantu oleh penyokong PKR yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada calon muda itu selepas Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila borang pencalonannya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya ketika penamaan calon berikutan denda mahkamah berkaitan kesnya.

– BERNAMA

 

scroll to top