Monday , 23 October 2017

Home » Nasional » Angin kencang, laut bergelora hingga Selasa

Angin kencang, laut bergelora hingga Selasa

October 13, 2017 11:15 am Category: Nasional A+ / A-
Angin kencang, laut bergelora hingga Selasa

MetMalaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), pagi ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama sehingga Selasa ini, di perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Reef South, Labuan dan Palawan.

Jangkaan angin kencang dan laut bergelora itu termasuk kawasan perairan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri) , Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat).

MetMalaysia, dalam satu kenyataan, berkata angin kencang Barat Daya mengakibatkan kelajuan angin dari 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan gelombang setinggi 3.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya untuk aktiviti perkapalan, bot kecil, rekreasi dan sukan laut,” katanya.

MetMalaysia turut menjangkakan ribut petir di perairan Selat Melaka dan Tioman sehingga pagi ini.

Selain itu, ribut petir di perairan Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat, Terengganu dan Pahang akan berterusan sehingga pagi ini.

Cuaca berkenaan boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, yang berisiko tinggi membahayakan nelayan dan bot kecil.

Sementara itu, sehingga 6.33 pagi ini, tiada amaran hujan lebat dikeluarkan.

MetMalaysia turut mengesan Ribut Tropika (Khanun), kira-kira 159 km ke Timur Laut Luzon, Filipina pada 5 pagi, hari ini.

“Pergerakan ribut Khanun ke arah Barat dengan kelajuan 25 kmsj. Jarak dari bandar terdekat adalah kira-kira 1,339 km ke Timur Laut Kudat, Sabah.

“Tiada kesan signifikan terhadap Malaysia,” katanya.

BH

scroll to top