Saturday , 19 January 2019

Home » Dunia » Anwar, Modi adakan pertemuan bincang kerjasama dua hala

Anwar, Modi adakan pertemuan bincang kerjasama dua hala

January 11, 2019 7:51 am Category: Dunia, Nasional A+ / A-
Anwar, Modi adakan pertemuan bincang kerjasama dua hala

NEW DELHI,. Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi hari ini, antara lain membincangkan mengenai kerjasama dua hala dan serantau.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan perkara membabitkan kepentingan dua hala, serantau dan global,” menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri.

Turut serta dalam pertemuan itu Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Anggota Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund R. Santhara Kumar.

Terdahulu pada Rabu Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar India, Sushma Swaraj dan presiden parti pembangkang, Parti Kongres, Rahul Gandhi.

Ketika ditemui Bernama, Presiden PKR itu berkata Swaraj membangkitkan isu mengenai kira-kira 400 pendatang tanpa izin India yang ditahan di Malaysia dan meminta mereka dibebaskan atas dasar kemanusiaan.

Anwar berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia.

“Pemimpin India, di pihak kerajaan mahupun pembangkang, kelihatan amat positif mengenai hubungan perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kebudayaan dengan Malaysia. Saya berbincang dengan Perdana Menteri Modi bagaimana kerjasama boleh diperluaskan lagi,” kata Anwar.

Permintaan India untuk pendakwah Zakir Naik diekstradisi turut dibangkitkan semasa pertemuan dengan Modi.

Jelas Anwar, Malaysia terikat dengan prosedur dan proses undang-undang.

— BERNAMA

scroll to top