Saturday , 19 January 2019

Home » Nasional » Anwar selar kebangkitan global jingoisme, xenofobia

Anwar selar kebangkitan global jingoisme, xenofobia

January 11, 2019 4:07 pm Category: Nasional A+ / A-
Anwar selar kebangkitan global jingoisme, xenofobia

NEW DELHI,. Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebangkitan jingoisme dan xenofobia menimbulkan ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Kebangkitan semula ultra-nasionalisme adalah satu fenomena global. Ia bunga-bunga ketakutan dan suatu yang berbahaya kepada keamanan dan keselamatan ketika ini.

“Politik dan polemik identiti ekstrem menyumbang kepada situasi di mana terdapat godaan terhadap keganasan yang membarah. Kita perlu menolaknya,” kata beliau dalam ucapan perpisahan pada petang Khamis di persidangan geopolitik Dialog Raisina di New Delhi.

Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan jingoisme sebagai sikap (pandangan, fahaman dan sebagainya) yang terlalu mengagung-agungkan kekuasaan atau kehebatan negara sendiri, dan menyokong dasar peperangan terhadap negara lain: maka lahirlah jingoisme, iaitu aliran fahaman yang boleh membawa kezaliman kepada kumpulan lain.

Manakala xenofobia pula ditakrif sebagai perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing.

Ketua PKR itu dalam ucapannya menyentuh pelbagai isu, termasuk nasionalisme di Eropah, komunalisme di India, peperangan dan konflik di rantau Arab, ketidaksetaraan ekonomi, dan politik Malaysia susulan pilihan raya umum tahun lepas.

“Kita bertemu pada masa kebangkitan nasionalisme di seluruh dunia yang didorong oleh ketakutan berkepala hitam.

“Ketakutan terbesar ialah ketakutan terhadap yang lain, terhadap motif, niat dan aspirasi rakyat yang dianggap berbeza,” kata Anwar.

Beliau berkata apa yang disifatkan sebagai ekonomi “nativis” di Amerika amat mengejutkan, dan di Eropah mereka menggelarkannya sebagai nasionalisme.

“Dengan menggandakan sepupu semantiknya seperti ‘xenofobia’ atau ‘ultra-nasionalisme’ or ‘jingoisme,’ wacana anti-imigrasi telah berubah menjadi mutasi toksik perkauman domestik, permusuhan agama dan kebencian kaum dengan melakukan provokasi berunsur perkauman yang kronik serta hasutan untuk melakukan keganasan semakin menjadi satu kebiasaan,” katanya.

Anwar turut mengkritik peperangan yang diterajui Amerika Syarikat kerana telah menyebabkan kemusnahan yang meluas.

“Kita telah mengalami peperangan yang salah di Iraq dan Libya, satu kempen yang tidak berkesudahan di Afghanistan, yang mengakibatkan keadaan kucar-kacir di seluruh rantau ini dan dunia,” katanya.

Bercakap mengenai hala tuju politik baharu Malaysia, Anwar berkata pembaharuan institusi yang dilaksanakan “adalah untuk membawa Malaysia ke satu laluan baharu ke arah demokrasi perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman yang lebih baik.”

Beliau berkata Malaysia telah memasuki satu era baharu di bawah Pakatan Harapan.

“Peralihan kuasa yang aman adalah sesuatu yang luar biasa. Dan saya yakin bahawa antara sebab paling penting untuk fenomena luar biasa ini ialah polisi kami yang amat tegas serta konsisten berkaitan isu perkauman dan hubungan antara kaum.

“Jika dunia ingin belajar sesuatu daripada kisah Malaysia, inilah dia.

“Untuk pengetahuan anda — menguruskan satu gabungan yang penuh dengan musuh ketat dengan etnik dan agama berbeza ada ketikanya memerlukan usaha bertaraf Olimpik.”

Tema Dialog Raisina tahun ini, anjuran kumpulan pemikir Yayasan Pemerhati Penyelidikan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar India, ialah ‘A World Re-order: New Geometrics, Fluid Partnerships, Uncertain Outcomes.’

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom

— BERNAMA

scroll to top