Wednesday , 22 August 2018

Home » Bisnes » AOS 2018 kembali gegar MAEPS

AOS 2018 kembali gegar MAEPS

July 19, 2018 12:20 pm Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
AOS 2018 kembali gegar MAEPS

Art of Speed (AOS), acara tempatan Ol-Skool & Kustom Kulture Malaysia kembali dengan acara tahunannya untuk semua peminat kereta dan motosikal.

Acara yang mempamerkan seni kustom tempatan yang terdiri daripada kereta dan motosikal yang diubahsuai serta restorasi, galeri seni, aktiviti interaktif dan hadiah cabutan bertuah yang menarik.

Seperti edisi lalu, AOS tahun ini yang bakal berlangsung pada 28 hingga 29 Julai 2018 kekal dianjurkan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

AOS 2018 dibuka untuk lawatan dari jam 10 pagi hingga 7 petang dengan acara tahunan ini dijangka dihadiri lebih 40,000 pengunjung bagi tempoh dua hari penganjurannya.

Apa yang menarik dalam edisi kali ini, termasuk peminat kereta dan motosikal akan berpeluang bertemu dengan tetamu antarabangsa seperti James Ken Blackmon dan Wilburlavard Thomas III daripada Trico, Amerika Syarikat (AS); Dean Ian Micetich dan Jimmy Dean Horn Jr daripada Dice Magazine, AS; Nau Shima dan Yuki Hitomi daripada Tokyo Indians MC, Jepun; dan Ray Luke Matthew Bellerby daripada Fuel Tank Magazine, Australia.

Dikuasakan PETRONAS

Lebih menarik, AOS 2018 akan dikuasakan oleh PETRONAS yang mana acara kali ini akan menyaksikan lapan pembina khas daripada Malaysia dan Singapura bersaing untuk merebut hadiah wang tunai RM10,000 (pemilihan juri) dan wang tunai RM5,000 (pilihan awam).

Pembina khas yang bersaing ialah Rusty Factory, Ipoh, Perak; Soul Garage, Sungai Petani, Kedah; JZ Engineering & Services, Pasir Gudang, Johor; No Die Cycles, Ampang, Selangor; Beautiful Machines, Kuala Lumpur; Dstreet Customs, Singapura; Kenstomoto, Kuala Lumpur dan Skateture Custom Works, Kuching, Sarawak.

Selain itu Hot Wheels akan menyambut ulang tahun ke-50 di AOS 2018 dengan Pengurus Reka Bentuk Global Hot Wheels, Dmitriy Shakhmatov akan berkunjung ke Malaysia dari AS sempena Siri Jelajah Asia Tenggara Hot Wheels.

Shakhmatov juga akan memperkenalkan reka bentuk ‘Car Culture 2019′ dengan kerjasama Porsche RWB, serta meraikan RWB Porsche 911 yang bersaiz sebenar yang dibangunkan menjadi model ulang tahun Hot Wheels.

Info:
Art of Speed (AOS) 2018

Tarikh: 28 dan 29 Julai 2018

Lokasi: MAEPS, Serdang

Masa: 10 pagi – 7 malam

scroll to top