Saturday , 19 January 2019

Home » Bisnes » Apple kecilkan pengeluaran tiga model iPhone baharu

Apple kecilkan pengeluaran tiga model iPhone baharu

January 9, 2019 11:37 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Apple kecilkan pengeluaran tiga model iPhone baharu

Apple Inc

TOKYO,. Apple Inc merancang untuk mengurangkan pengeluaran bagi tiga model iPhone baharunya sebanyak 10 peratus bagi suku berakhir Mac ini, lapor Nikkei Asian Review pada Rabu.

Ia seminggu selepas firma gergasi itu menurunkan unjuran jualan suku tahunnya.

Langkah yang disifatkan menghairankan itu mendedahkan permintaan yang semakin lemah di China bagi iPhone keluaran Apple, di tengah-tengah ekonomi perlahan, yang turut dipengaruhi oleh perang dagangan bersama Amerika Syarikat (AS).

Ramai penganalisis dan pengguna berkata, harga bagi iPhone baharu itu adalah terlalu mahal.

Akhir bulan lalu, Apple meminta pembekalnya untuk mengeluarkan kuantiti yang lebih kecil berbanding rancangan asal bagi model XS, XS Max dan XR, kata Nikkei memetik sumber yang mempunyai maklumat mengenainya.

Permintaan itu dibuat sebelum Apple mengurangkan unjurannya minggu lalu, kata Nikkei.

Amaran mengejut itu mencetuskan jualan besar-besaran dalam pasaran saham global.

Jumlah pengeluaran keseluruhan yang dirancang bagi model lama dan baharu iPhone dijangka dikurangkan sekitar 40 juta hingga 43 juta unit bagi suku Januari hingga Mac.

Ia berbanding unjuran awal sebanyak 47 juta hingga 48 juta unit, menurut Nikkei.

Sementara itu, Apple tidak memberikan sebarang maklum balas kepada Reuters ketika diminta mengulas mengenai hal berkenaan. -Reuters

scroll to top