Saturday , 23 June 2018

Home » Bisnes » Apple pengeluar paling untung Q3 – Counterpoint

Apple pengeluar paling untung Q3 – Counterpoint

December 28, 2017 4:57 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Apple pengeluar paling untung Q3 – Counterpoint

Apple Inc

SEOUL,. Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc tampil sebagai pengeluar telefon pintar dunia yang paling untung pada suku ketiga 2017.

Samsung Electronics Co pula berjaya mengatasi kerugian akibat penggantungan pengeluaran Galaxy Note 7, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik laporan pemerhati industri, hari ini.

Counterpoint, dalam laporannya antara lain menyebut, Apple menyumbang 59.8 peratus daripada keuntungan gabungan yang dihasilkan oleh industri telefon pintar global sepanjang tempoh itu diikuti Samsung Electronics dengan 25.9 peratus.

Dalam tempoh Julai-September 2016, Apple menyumbang 85.9 peratus manakala Samsung tidak menyumbang apa-apa berikutan insiden malang yang menimpa Galaxy Note 7, ‘peranti gah’ namun gagal bertahan lama akibat masalah bateri.

“Pembekal Korea, meskipun berdepan permintaan lebih tinggi untuk Note 8 dan peranti Samsung Galaxy Siri J dengan spesifikasi tinggi, menguasai hampir satu perempat keuntungan industri telefon bimbit global,” kata Pengarah Penyelidikan Counterpoint, Neil Shah, dalam laporan itu.

Counterpoint berkata, Apple mengaut keuntungan sebanyak AS$151 bagi setiap telefon pintar yang terjual sepanjang suku tahun ketiga, mengatasi keuntungan yang diraih Samsung sebanyak AS$31.

Perolehan beberapa syarikat China bagi setiap telefon pintar yang terjual pula dianggarkan antara AS$13 dan AS$15, kata pemerhati industri itu.

Bagaimanapun, penyelidik itu berkata pengeluar telefon pintar China terus memperluas kehadiran mereka dalam pasaran.

“Biasanya semua keuntungan dikongsi oleh hanya dua jenama iaitu Samsung dan Apple, bagaimanapun, jenama China ternyata berjaya menempatkan dirinya di sini,” kata Pengarah Bersekutu Counterpoint, Tarun Pathak.

– BERNAMA

scroll to top