Wednesday , 26 September 2018

Home » Sukan » Arsenal, Leeds tersingkir daripada Piala FA

Arsenal, Leeds tersingkir daripada Piala FA

January 8, 2018 9:34 am Category: Sukan A+ / A-
Arsenal, Leeds tersingkir daripada Piala FA

LONDON,. Penyandang juara Piala FA, Arsenal secara sensasi disingkirkan oleh Nottingham Forest sebentar tadi, menyertai Leeds United sebagai pasukan nama besar yang terkandas pada hari penuh kejutan.

West Ham pula terus menghidupkan peluang dengan keputusan seri tanpa jaringan di Shrewsbury manakala Tottenham menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit pada babak kedua sebelum mengetepikan cabaran kelab divisyen tiga AFC Wimbledon 3-0.

Kelab Liga Kejuaraan, Forest mencetus imbauan tempoh kegemilangan di bawah Brian Clough apabila menamatkan cabaran juara 13 kali Arsenal dalam aksi penuh insiden 4-2 di City Ground.

Bos Arsenal, Arsene Wenger, yang melakukan sembilan perubahan daripada pasukan yang seri dengan Chelsea dalam Liga Perdana pada pertengahan minggu lalu, mempertahankan pemilihan pasukannya bagi aksi pusingan ketiga itu.

“Kami mempunyai ramai pemain untuk diturunkan dan kami bermain sekali lagi pada Rabu,” katanya. “Apabila anda tidak dipilih anda sering kali dipersoalkan.

“Saya percaya kami mempunyai pasukan berpengalaman, lapan atau sembilan pemain kebangsaan. Mudah memikirkan itulah masalahnya.

“Apabila anda berdepan pasukan sebegitu mereka amat sukar untuk ditewaskan. Secara bertahan anda tidak boleh melakukan kesilapan yang kami lakukan.”

Pemain kebangsaan Amerika Syarikat, Eric Lichaj membuka tirai jaringan buat tuan rumah menerusi tandukan pada pertengahan babak pertama namun Per Mertesacker menyamakan kedudukan buat pelawat tiga minit kemudian.

Bagaimanapun, Forest terus menghukum barisan kurang berpengalaman Arsenal dan mereka mendapat habuannya sebelum rehat apabila Lichaj merembat voli menarik dari hujung kotak penalti.

Wenger, yang menjalani penggantungan tepi padang, tidak terdaya melakukan apa-apa dari bangku penonton apabila Rob Holding menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan pemain remaja Ben Brereton pada minit ke-64 bagi membantu tuan rumah mendahului 3-1.

Danny Welbeck mencetus sedikit harapan buat Arsenal 10 minit sebelum tamat namun Kieran Dowell meledak menerusi sepakan penalti sekali lagi bagi memastikan kemenangan buat pasukan divisyen dua itu ke atas pelawat dari Liga Perdana.

Dalam beberapa minit terakhir, pemain Forest, Joe Worrall dibuang padang namun sudah terlambat buat Arsenal menggunakan kelebihan itu.

Terdahulu, penyerang pinjaman Shawn McCoulsky menanduk masuk gol kemenangan dramatik pada minit ke-89 bagi membantu kelab Wales, Newport County mengejutkan juara Piala FA 1972, Leeds 2-1.

– AFP

scroll to top