Friday , 14 December 2018

Home » Sukan » Arsenal Permulaan yg hambar

Arsenal Permulaan yg hambar

August 13, 2018 11:01 am Category: Sukan A+ / A-
Arsenal Permulaan yg hambar

LONDON,. Pep Guardiola memuji bintang Manchester City kerana mengetepikan keletihan mereka selepas Piala Dunia apabila juara bertahan itu memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Arsenal.

Skuad Guardiola mempertaruhkan sejumlah pemain yang memberitahu pengurus City itu bahawa mereka sedia diturunkan di Stadium Emirates semalam biarpun keletihan susulan tugasan Piala Dunia di Russia.

Beberapa pemain antaranya bintang England Raheem Sterling, Kyle Walker dan John Stones, memendekkan cuti mereka untuk kembali berlatih bersama City.

Malah biarpun seminggu selepas sesi latihan, City meneruskan prestasi mereka musim lalu dengan aksi meyakinkan yang berjaya menundukkan Arsenal.

Raheem Sterling membuka jaringan pada separuh masa pertama sebelum Bernardo Silva meledak gol kedua City pada separuh masa kedua, membuatkan Guardiola memuji anak buahnya.

“Kami bermain pada tahap yang tinggi biarpun ramai pemain kurang cergas kerana baru pulang daripada Piala Dunia,” katanya.

“Ramai pemain yang melakukan pengorbanan. Stones, Walker, kami berlatih hanya seminggu tetapi semangatnya tetap ada.

“Secara umumnya, berada pada ketika ini dengan keinginan untuk terus berjuang, ia sama seperti musim lalu.

“Perlawanan pertama musim ini, menentang Arsenal di tempat lawan dengan pengurus baru selepas 20 tahun? Tiada siapa boleh menafikan bahawa ia sukar, jadi untuk memenanginya dengan cara kami memenanginya sudah cukup memuaskan.”

City dilihat tetap bernafsu biarpun berjaya memecah rekod musim lalu, apabila mereka menjulang gelaran itu dengan rekod 100 mata dan menjulang Piala Liga.

– AFP

scroll to top