Friday , 20 July 2018

Home » Artikel Pilihan » Ayuh, hebatkan Malaysia!

Ayuh, hebatkan Malaysia!

May 8, 2018 2:33 pm Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
Ayuh, hebatkan Malaysia!

RAKYAT Malaysia yang dikasihi, pada 9 Mei kita akan mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kita seharusnya berbangga dengan tradisi demokrasi yang terus padu dan kukuh berbanding negara lain di rantau ini. Hak untuk memilih kerajaan adalah tunjang demokrasi dan Barisan Nasional (BN) akan terus memelihara hak terbabit.

Bagaimanapun, saya sedih kerana pertarungan pilihan raya ini menyaksikan beberapa perkara kurang menyenangkan.

Sejak pilihan raya umum terdahulu pada 2013, pembangkang menggunakan pelbagai cara untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi menerusi kitaran pilihan raya, tanpa menghiraukan keputusan rakyat menerusi peti undi, dan menghalang kami daripada mentadbir dengan aman sepanjang penggal. Jika pembangkang menggunakan cara tidak demokratik untuk mendapatkan kuasa, tidak mungkin mereka akan mentadbir secara demokratik.

Untuk membuat pilihan yang tepat kali ini, pengundi mesti mengetahui kebenaran. Dan pakatan pembangkang diterajui DAP telah melakukan segala yang boleh untuk mengabui kebenaran dengan tsunami fitnah. Pembohongan mereka begitu ketara sehingga media Barat turut mempersoalkannya. Malah, sebuah penerbitan antarabangsa melaporkan minggu ini bahawa ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad “hanya sedikit menyentuh dasar asas dan terlalu banyak mengandungi fitnah.” Dakwaan itu adalah sesuatu yang sukar ditepis oleh beliau kerana ia adalah kebenarannya.

Saya berbesar hati kerana dapat berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia sejak 2009, dan bangga terhadap apa yang sudah kita capai bersama.

Sebanyak 2.7 juta peluang pekerjaan. Purata pertumbuhan 5.4 peratus sejak 2010 yang hanya boleh diimpikan negara maju. Pendapatah Negara Kasar (PNK) melonjak 50 peratus, sekali gus mewakili peningkatan kemakmuran negara, dan menjelaskan mengapa Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) memuji kita kerana berada di landasan tepat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Ini adalah pencapaian seluruh rakyat Malaysia, dan jangan benarkan sesiapa pun memesongkan fakta. Jangan biarkan pembangkang memperlekehkan pencapaian itu dengan mendakwa ia tidak wujud, atau secara membuta tuli mengatakan negara kini di ambang bankrap. Mereka mengkritik semata-mata untuk mengutuk tetapi tidak menawarkan sebarang asas sebagai pengganti. Lebih dahsyat lagi, mereka membuat janji palsu yang tidak mungkin dapat ditunaikan. Contohnya, mereka mendakwa mahu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi belum membuat cadangan bagaimana mahu menggantikan RM43 bilion yang diperoleh tahun lalu.

Memperkenalkan GST adalah antara keputusan paling sukar pernah saya lakukan. Saya tahu ia akan menyebabkan kenaikan harga beberapa barangan dan perkhidmatan, malah ia akan menjadi beban bagi sesetengah rakyat Malaysia. Namun demikian, saya juga tahu bahawa tanpa GST, ekonomi kita akan terus bergantung kepada harga minyak. Ini berada di luar kawalan kita dan kejatuhan harga minyak seperti yang berlaku beberapa tahun lalu boleh menyebabkan kita menghadapi kemelesetan yang menjejaskan rakyat jika tiada langkah wajar diambil. Bagaimanapun, GST membuatkan kita bebas dari segi fiskal dan stabil. Walaupun ada beberapa titik-bengik jangka pendek yang mungkin menyukarkan, saya memberi jaminan pulangan jangka panjangnya akan dinikmati dalam tahun-tahun mendatang.

Bagi rakyat Malaysia yang berdepan kesukaran menjalani kehidupan, kami memperkenalkan pelbagai program bagi membantu golongan B40 dan golongan sasar lain yang memerlukan. Paling dikenali pastinya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) – yang ingin dihapuskan oleh pembangkang – namun ada banyak lagi langkah telah diambil bagi membantu golongan muda mendapatkan latihan, usahawan mikro mendapat pinjaman, dan pelbagai jenis bantuan bagi wanita, masyarakat luar bandar dan sebagainya. Ada antara program ini yang mungkin jarang didengari dan pembangkang tidak akan menyebutnya. Tapi rakyat mengetahui segala usaha BN dan kerajaan pimpinan saya lakukan demi mereka.

Apa kelainan yang boleh saya lakukan sebagai anak Tun Razak? Beliau melakukan lebih daripada orang lain dalam usaha meningkatkan taraf hidup orang Melayu, masyarakat luar bandar dan golongan miskin. Beliau mendidik saya supaya sentiasa berjuang untuk semua rakyat Malaysia, dan kita tidak boleh meminggirkan sesiapa pun dalam laluan membangunkan negara.

Peneroka FELDA memahami betapa banyak yang dilakukan oleh Tun Razak untuk mereka dan betapa pentingnya beliau terhadap masyarakat FELDA. BN dan saya berbangga dapat terus berbakti kepada mereka sehingga ke hari ini.

Banyak lagi yang harus kita lakukan, dan ada kalanya kami juga membuat kesilapan. Kami belajar daripadanya supaya kami dapat melakukan yang lebih baik untuk rakyat pada masa depan. Kami jujur mengenai hal ini dan rekod pencapaian kami menjadi buktinya. Anda boleh meyakini janji kami buat masa depan, seperti menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dan menyediakan tiga juta peluang pekerjaan kerana kami sudah mengotakan segala janji sebelum ini.

Tatkala kami menawarkan keikhlasan dan perkhidmatan, pembangkang pula memberi janji populis yang tidak mungkin dapat dipenuhi dan lazimnya, hanya menabur pembohongan.

DAP adalah parti terbesar dalam pakatan pembangkang dengan majoriti kerusi di Parlimen, sekali gus menjadikannya kuasa sebenar. Bagaimanapun, mereka mengelirukan rakyat dengan sengaja melindungi pemimpinnya di sebalik orang Melayu. Apakah mereka akan membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri jika menang?

Setiap kali ditanya, beliau berkata memerlukan lebih banyak masa untuk mentadbir. Ketika ini, tempoh diberi ialah tiga tahun. Apakah mereka sanggup mengambil risiko meletakkan seorang berusia 92 tahun yang pernah mengheret begitu ramai individu ke penjara, untuk kembali memegang tampuk kuasa?

Jangan tertipu, baik dengan air matanya mahu pun dakwaan disabotaj atau cuba dibunuh! Bekas diktator, seperti mana gelaran yang disebutnya sendiri, tidak akan berubah. Beliau meminta maaf tanpa keikhlasan. Hakikatnya, beliau hanya menggunakan bekas sekutunya, seperti mana mereka menggunakan beliau. Hipokrasi mereka sememangnya menakjubkan.

Bayangkan negara ini berada di tangan mereka: sekumpulan individu yang menghabiskan hampir keseluruhan hidup saling menyerang, tidak boleh mencapai persetujuan terhadap dasar paling asas dan hanya bersekongkol semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

Seperti peringatan Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini: “Tidak bijak sekiranya kita memilih pemimpin yang tidur sekatil tetapi mempunyai mimpi berbeza.” Menurut Pak Lah, penyatuan sekumpulan individu yang mempunyai ideologi berbeza hanya untuk mendapatkan kuasa, tidak baik buat negara. Itulah pembangkang. Sekumpulan manusia yang sukar berhenti daripada saling menikam dari belakang sejak sebelum pilihan raya, malah terus menikam dari belakang selepas mendapat kuasa di peringkat negeri sebelum ini.

Dan kini, mereka menikam belakang rakyat Malaysia dengan pelbagai pembohongan. Malaysia yang digambarkan mereka adalah realiti pilihan berbanding negara makmur dan sejahtera yang dibina bersama oleh kerajaan serta rakyat yang bekerja keras menjayakannya. Ini adalah Malaysia yang diiktiraf Bank Dunia dan pelbagai institusi antarabangsa dalam laporan mereka. Ini adalah Malaysia yang menyaksikan delegasi kerajaan disambut oleh peringkat tertinggi, dari Washington ke London ke Beijing, New Delhi serta Riyadh. Ini adalah Malaysia yang membuatkan Penjaga Dua Masjid Suci memilih negara kita untuk mewujudkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP). Kebenarannya ialah, kedudukan Malaysia di mata dunia tidak pernah setinggi ini. Begitupun, anda tidak akan mendengar semua ini daripada pembangkang.

Bagi mereka, hitam adalah putih dan putih adalah hitam. Mereka hanya menawarkan kemusnahan, bukan harapan.

Sekarang ini, contohnya, mereka mengugut untuk membatalkan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Jika projek yang menawarkan 86,000 pekerjaan itu dibatalkan, apa akan berlaku kepada generasi muda di negeri terbabit? ECRL adalah contoh pelaburan besar yang diusahakan kerajaan dengan bersungguh-sungguh dan jika dibatalkan, China akan berhenti membeli minyak kelapa sawit daripada kita, sekali gus menjejaskan pekebun kecil FELDA.

Momokan pembangkang yang kerap kedengaran ialah kita menjual kedaulatan kepada China. Ini adalah palsu. Pelaburan Malaysia ke China sebelum ini adalah jauh lebih besar berbanding pelaburan China di Malaysia, dan kita mempunyai lebih banyak pelaburan di luar negara berbanding pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini. Justeru, ini berlaku secara dua hala. Malah, kita mempunyai lebih banyak FDI dari Jepun berbanding China, tetapi pembangkang tidak mendakwa kita menjual kedaulatan kepada Jepun! Demi kebaikan pembangunan negara, kita mengalu-alukan pelabur dari seluruh dunia termasuk Afrika, Amerika, China, Kesatuan Eropah (EU), India dan Arab Saudi.

Ini hanya satu contoh bagaimana Pakatan Fitnah mengambil kejayaan yang dicapai bersama oleh rakyat Malaysia untuk diputar belit. Mereka berbohong mengenai GST – duit disalurkan kembali menerusi program bersasar supaya ia benar-benar memanfaatkan golongan sasar, berbanding subsidi menyeluruh yang turut dinikmati bilionair segera yang meremehkan penerima BR1M. Mereka memperkecil-kecilkan negara kita dalam laluan mengejar kuasa. Seperti mana laporan antarabangsa yang saya sebutkan tadi, semuanya fitnah.

Kita tidak pernah berdepan pilihan raya yang menyaksikan taktik kotor seperti ini digunakan secara meluas tanpa segan-silu. Bagaimanapun, saya mahu rakyat Malaysia membuka mata melangkaui segala pembohongan itu dan melihat negara sebenar yang kita bina bersama.

Ia adalah negara yang wajar kita banggakan. Ia adalah negara yang dibina hasil kerjasama BN dan rakyat. Ia adalah kerjasama yang anda kenali, yang boleh diharap, yang mendengar, yang berkhidmat dan akan terus berkhidmat untuk anda.

Maka dengan itu, saya memohon supaya anda tidak menggadaikan semua itu dan mengingati apa yang telah kita capai bersama serta hala tuju lebih tinggi yang mampu kita gapai pada masa depan. Saya berjanji, jika anda sekali lagi meletakkan kepercayaan kepada BN, kami akan terus bekerja untuk anda, berkhidmat untuk rakyat dan terus membina negara ini bersama. Ayuh, kita bersama hebatkan Malaysia.

scroll to top