Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » Azmin bukan membelakangi JPP – Tian Chua

Azmin bukan membelakangi JPP – Tian Chua

November 14, 2018 11:53 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Azmin bukan membelakangi JPP –  Tian Chua

kata calon Naib Presiden PKR, Tian Chua, Mohamed Azmin sekadar merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sokongan yang diterima selama ini

KUALA LUMPUR,. Tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan terlalu awal ‘mengumumkan’ kemenangan tidak rasmi beliau pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR dianggap bukan membelakangi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Sebaliknya, kata calon Naib Presiden PKR, Tian Chua, Mohamed Azmin sekadar merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih beliau kepada penyokong setia atas sokongan yang diterima selama ini, bukannya membuat pengumuman kemenangan secara rasmi.

Kata Tian Chua, laporan media kononnya Mohamed Azmin mengumumkan kemenangan beliau juga kurang tepat kerana ia adalah hanya ucapan terima kasih kepada penyokong.

“Media bagaimanapun boleh mendapat maklumat sendiri bahawa Mohamed Azmin sememangnya mempunyai majoriti melebihi lawannya (Rafizi Ramli) dan kita boleh andaikan bahawa beliau memenangi pemilihan berkenaan.

“Pada pendapat saya, Mohamed Azmin tidak perlu mengumumkan kemenangan beliau manakala untuk Rafizi pula, beliau harus menerima keputusan pemilihan kali ini untuk dengan hati terbuka.

“Pada masa sama, Rafizi perlu mengumumkan kesudian beliau untuk bekerjasama dengan Mohamed Azmin demi masa depan parti,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Tian Chua mengulas laporan muka depan New Straits Times (NST) hari ini mengenai peringatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya Mohamed Azmin menghormati proses pemilihan PKR.

Peringatan itu berikutan tindakan Mohamed Azmin ‘mengumumkan’ beliau berjaya menewaskan Rafizi dan memenangi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

Menurut Anwar, meskipun Mohamed Azmin mempunyai hak untuk ‘mengumumkannya’ tetapi perlu menghormati JPP.

“Dia ada hak untuk sebut tetapi dia pun tahu yang umumkan itu ialah JPP. Dan kita patut hormat proses,” kata kepada media di Bangunan Parlimen.

Mohamed Azmin dikatakan ‘mengumumkan’ kemenangannya dalam pemilihan parti kali ini walaupun perebutan jawatan nombor dua parti itu menentang Rafizi Ramli masih belum jelas dan penuh kekalutan.

Beliau juga dikatakan mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana meneruskan “agenda sebenar reformasi” menerusi satu kenyataan yang ditandatanganinya sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, dalam kenyataannya sebelum ini turut sependapat dengan Tian Chua dan beliau menyifatkan ia bukan satu tindakan yang salah bagi Mohamed Azmin membuat pengumuman tidak rasmi kemenangannya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi, biarpun JPP belum mengeluarkan keputusan rasmi, Mohamed Azmin berhak berbuat demikian, seperti mana amalan mana-mana pihak yang bertanding dalam pemilihan parti mengumumkan kemenangan sendiri.

“Sebelum ini pun, ada pihak yang sudah umum menang di cabang sana, di cabang sini, walaupun pemilihan masih berlangsung.

“Jadi, apa salahnya dia nak umum kemenangan itu dan ucap terima kasih kepada penyokongnya atas sokongan yang diterima,” katanya.

Sementara itu, calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad pula meminta semua ahli PKR supaya bertenang sementara menunggu keputusan rasmi.

Tegas Nik Nazmi, tiada rumusan yang boleh dilakukan sehingga pengumuman rasmi berhubung keputusan pemilihan dilakukan.

“Kita tidak boleh hanya memetik satu atau dua cabang yang berpihak kepada satu pihak sebaliknya pimpinan parti perlu mengkaji semula seluruh proses pemilihan.

“Apapun, kita seharusnya bangga dengan apa yang sudah dicapai oleh PKR yang kini adalah parti berbilang kaum yang paling berjaya dalam sejarah Malaysia,” katanya.

scroll to top