Sunday , 22 October 2017

Home » Bisnes » Bakal Memperkenalkan Model baru 2019

Bakal Memperkenalkan Model baru 2019

August 1, 2017 12:11 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Bakal Memperkenalkan Model baru 2019

Serdang: 1 Ogos Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangkakan Proton Holdings Bhd (Proton) dan Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) bakal memperkenalkan model terbaru kenderaan menerusi hasil sentuhan kedua-dua entiti berkenaan seawalnya pada akhir tahun depan atau awal 2019.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada kedua-dua pihak bakal memperkenalkan model terbaru atau model Proton sedia ada menggunakan teknologi Geely yang mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kenderaan jenama antarabangsa mewah, Volvo.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, dalam tempoh lima tahun, kedua-dua syarikat itu perlu melengkapkan semua keperluan operasi pengeluaran kenderaan termasuk memperkenalkan model terbaru.

Beliau berkata, ketika ini, Proton dan Geely dalam usaha mempersiapkan kemudahan kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim yang bakal digunakan Geely bagi tujuan membangunkan teknologi baru untuk kenderaan keluarannya.

Katanya, kerjasama strategik itu bukan saja memberi manfaat kepada Proton untuk menerima teknologi daripada syarikat itu, malah bersama-sama dapat menerokai pasaran ASEAN yang mempunyai potensi besar kepada syarikat nasional berkenaan.

“Kami berharap dengan kerjasama ini Proton dapat mengeksport model keluarannya ke ASEAN memandangkan terdapat 620 juta penduduk di rantau berkenaan yang berpotensi menjadi pembeli kenderaan mereka.

“Dalam tempoh lima tahun ini, Proton dan Geely perlu memberikan tumpuan terhadap proses penyusunan struktur baru Proton di Tanjung Malim bagi memudahkan pemindahan teknologi firma automotif China itu,” katanya selepas sesi dialog bersama Putra Business School (PBS) anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM dan Persatuan Pelajar Putra, di sini, semalam.

scroll to top