Friday , 20 July 2018

Home » Artikel Pilihan » ‘Bangsa’ Malaysia bersatu di bawah Perlembagaan

‘Bangsa’ Malaysia bersatu di bawah Perlembagaan

May 13, 2018 11:36 am Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
‘Bangsa’ Malaysia bersatu di bawah Perlembagaan

Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi Persekutuan yang menjelaskan konsep kedaulatan dan prinsip perlembagaan sebuah Persekutuan yang terdiri daripada negeri berdaulat.

Ketinggian perlembagaan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 4(1) tidak bermaksud bahawa buku Perlembagaan Persekutuan itu lebih agung daripada konsep kedaulatannya.

Konsep kedaulatan itu kerangka undang-undang yang menentukan keabsahan sesuatu undang-undang. Ia dinamakan juga sebagai kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’.

Justeru, melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan, konsep kedaulatan negara kita ditetapkan.

Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa kedaulatan Persekutuan itu terletak pada Raja-Raja Melayu sebagaimana yang sedia ada dan dinikmati sehingga kini adalah tetap dan tidak terjejas, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.

Konsep Kedaulatan Raja-Raja Melayu dinyatakan oleh Perjanjian Negeri 1948 adalah seperti yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu pada 1 Disember 1941 yang terakam dalam Laporan Suruhanjaya Reid.

Dalam pada itu, Laporan Penggubalan Perlembagaan 1946 menjelaskan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu itu hendaklah menurut adat Melayu.

Kedaulatan di atas adalah berfahaman continuum yang meletakkan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang negara kita itu hendaklah ‘patuh syariah’.

‘Continuum’ adalah sesuatu yang dianggap sebagai satu keseluruhan, struktur atau siri yang berterusan yang tidak harus dipisahkan.

Ringkasnya, kedaulatan negara kita adalah berkonsepkan Raja-Raja Melayu bersendikan adat Melayu dan bersumberkan ajaran Islam.

Huraiannya boleh didapati dalam buku ‘Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan (2018).

Adat Melayu

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bagaimana konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu bersendikan adat Melayu bersumberkan ajaran Islam itu dilaksanakan dalam kerangka undang-undang watan.

Ia dijelaskan melalui Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, iaitu prinsip kuasa eksekutif Persekutuan.

Prinsip bersumberkan ajaran Islam selaras dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu inilah yang perlu ditegakkan oleh pelaksana fungsi kuasa eksekutif.

Konsep dan prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu ialah satu per- untukan yang tidak boleh dipinda, bukan sahaja ia tertakluk pada Perkara 38(4) bahkan akidah Raja-Raja Melayu itu sendiri.

Secara spesifik, Perkara 38(4) berbunyi “Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.”

Perkara-perkara lain yang tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja dinyatakan dalam Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

Raja-Raja sebagai ketua agama Islam (Perkara 3(2), (5)

Kedudukan dan fungsi Majlis Raja-Raja termasuk Perkara 38

Persempadanan semula wilayah negeri-negeri (Perkara 2)

Perkara 10(4) berhubung dengan kuasa Parlimen untuk mengadakan sekatan demi kepentingan ketenteraman awam; melarang perbuatan mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan,
keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan berkenaan kewarganegaraan, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta
kepentingan sah kaum lain dan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta prerogatif Pembesar Memerintah Negeri Sembilan

Kewarganegaraan

Pengecualian imuniti ahli Parlimen

Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri

Jaminan Persekutuan terhadap hak perlembagaan, keistimewaan dan pewarisan Raja dalam Perlembagaan Negeri

Pengecualian imuniti Ahli Dewan Undangan Negeri

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

Hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain menurut Perlembagaan Persekutuan

Perkara 159(5) itu sendiri

Pertahan Perlembagaan

Selain di atas, Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan pindaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah atau Sarawak.

Oleh demikian, amatlah penting dan mustahak, setiap rakyat faham dan memelihara setiap peruntukan di atas.

Tanggungjawab yang sama dipikul oleh setiap Ahli Parlimen, apatah lagi mereka disyaratkan untuk mengikrarkan sumpah jawatan.

Sumpah jawatan di atas menuntut setiap Ahli Dewan Negara untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Lantaran itu, saya menyeru setiap warga Malaysia untuk memelihara kedaulatan Malaysia bersendikan adat Melayu dan bersumberkan ajaran Islam yang melestarikan jati diri watan tanah air seperti berikut:

Islam sebagai undang-undang watan bagi Persekutuan

Kesetiaan kepada kedaulatan Raja-Raja Melayu

Bahasa Melayu dan tulisan Jawi

Nilai murni adat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu serta adat anak negeri bagi Sabah dan Sarawak

Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagai bangsa asal serta kepentingan sah kaum lain

Hak untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing dengan aman.
Jati diri di atas perlu dibaca bersama dengan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan di setiap negeri dalam Malaysia.

Demi perpaduan nasional dalam kalangan rakyat berbilang agama, kaum dan keturunan, setiap rakyat perlu menjunjung jati diri watan tanah air serta peruntukan Perkara 38(4) dan Perkara 159 seperti di atas, di samping peruntukan Perlembagaan yang ada.

Atas premis di atas, insya-Allah kita mampu untuk wujudkan ‘bangsa’ Malaysia yang bersatu padu dan harmoni.

Penulis adalah Pemegang PhD Undang-Undang Perlembagaan (Konsep Kedaulatan Raja-Raja) UKM, Penasihat Gabungan MI’RAJ

scroll to top