Tuesday , 20 November 2018

Home » Bencana » Banjir di Terengganu tidak berubah, hanya satu pusat pemindahan dibuka

Banjir di Terengganu tidak berubah, hanya satu pusat pemindahan dibuka

November 7, 2018 3:32 pm Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Banjir di Terengganu tidak berubah, hanya satu pusat pemindahan dibuka

KUALA TERENGGANU,. Keadaan banjir di Terengganu tidak berubah setakat 8 pagi ini dengan hanya sebuah pusat pemindahan banjir di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan di daerah Dungun dibuka sejak semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata kesemua 42 mangsa dipindahkan ke dewan sivik tersebut disebabkan rumah dinaiki air susulan banjir kilat akibat longkang tersumbat.

“Cuaca dijangka semakin baik, hanya mendung sepanjang pagi ini, sekiranya air bertakung di rumah penduduk terjejas sudah surut, mungkin mereka akan dibenarkan pulang pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, menurut laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri meningkat kepada 7.67 meter melebihi paras waspada 7.60 meter dan Sungai Nerus di Kampung Bukit merekodkan 12.08 meter berbanding paras amaran 11.85 meter.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin ketika dihubungi Bernama berkata kesemua 505 sekolah terdiri daripada 151 sekolah menengah dan 354 sekolah rendah di Terengganu beroperasi seperti biasa setakat ini.

“Alhamdulillah, walaupun hujan agak lebat semalam, masih belum ada sekolah atau laluan ke sekolah yang ditenggelami banjir pagi ini, namun kita berharap semua pelajar dan guru terus berhati-hati dengan sebarang perubahan cuaca di sekitar sekolah mereka,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top