Monday , 10 December 2018

Home » Bisnes » Bank Islam sedia biayai vendor PETRONAS

Bank Islam sedia biayai vendor PETRONAS

May 7, 2018 7:06 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Bank Islam sedia biayai vendor PETRONAS

KUALA LUMPUR,. Bank Islam Malaysia Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PETRONAS dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menyediakan penyelesaian kewangan kepada vendor PETRONAS melalui Program Pembiayaan Vendor PKS.

Ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.

Dengan hasrat untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan kecairan penggiat sektor OGSE, ketiga-tiga pihak bekerjasama melalui Program Pembiayaan Vendor PKS, terbuka kepada PKS tempatan yang mendapat kontrak dengan PETRONAS dan menepati penilaian kredit oleh Bank Islam serta kelayakan dan kriteria SJPP.

MoU dimeterai oleh Timbalan Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Samsudin Miskon; Ketua Perbankan Komersial Bank Islam, Abdul Rashid Abdul Hamid dan Pengurus Besar Kanan SJPP, Chen Yin Heng.

Ia disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin dan Pegawai Utama SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Timbalan Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek & Teknologi, PETRONAS, Mazuin Ismail, berkata firma minyak dan gas negara itu memulakan kerjasama ini sebagai sebahagian daripada langkah yang diambil untuk mengekalkan ketahanan sektor OGSE Malaysia.

“Kami menghargai kerjasama yang dibuat dengan Bank Islam dan SJPP dan percaya ia akan mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh vendor OGSE,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Khairul berkata Bank Islam mengambil pendekatan realistik ke arah menghasilkan produk-produk berinovasi bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui kerjasama ini, kami dapat memberikan khidmat kepada ekonomi sebenar yang mewakili salah satu inisiatif pengantaraan

berasaskan nilai Bank Islam serta menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perniagaan PKS di negara ini.

“Kami juga komited untuk memberi khidmat kepada perusahaan besar serta masyarakat, lantas menyumbang kepada ketahanan ekonomi dan kesejahteraan sosial,” katanya.

Nungsari pula berkata kerajaan komited membantu perniagaan PKS dan telah menyediakan bantuan secara berterusan dalam

membangunkan PKS melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan, termasuk skim jaminan kerajaan yang diurus oleh SJPP.

“Sehingga kini, sebanyak 15,780 PKS telah menerima manfaat daripada pelbagai skim di bawah SJPP,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, SJPP, sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, akan bertindak sebagai penyedia jaminan kredit.

SJPP akan menyokong program ini dengan menyediakan lebih dari 70 peratus jaminan kredit kepada vendor PKS OGSE yang layak untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan.

Sebagai rakan kerjasama, peranan PETRONAS adalah untuk mempromosikan kemudahan pembiayaan ini kepada vendor PKS mereka, di samping mengesahkan kontrak dan maklumat vendor.

scroll to top