Thursday , 25 April 2019

Home » Bisnes » Banyak bidang kerjasama boleh diterokai Malaysia-Pakistan – Dr Mahathir

Banyak bidang kerjasama boleh diterokai Malaysia-Pakistan – Dr Mahathir

March 24, 2019 7:00 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Banyak bidang kerjasama boleh diterokai Malaysia-Pakistan – Dr Mahathir

ISLAMABAD,. Banyak bidang kerjasama boleh diterokai Pakistan dan Malaysia yang mampu memberi kelebihan buat kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“ Banyak bidang…tetapi (sebelum ini) kita tak tau dia punya kebolehan dan dia tak tau kita punya kebolehan. Bila kita datang sini baru nampak kebolehan mereka.

“ Kalau mereka boleh buat kenderaan tentera, saya fikir yang lain-lain bukan susah sangat bagi mereka. Bila mereka boleh terima cadangan untuk buat kereta kita dengan kita, saya rasa ia baik. Penduduk mereka 210 juta, kita 32 juta. Kalau kita (dengan penduduk 32 juta) boleh buat kereta, banyak lagi yang boleh mereka lakukan.

“ Dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan, perdagangan, pertanian, banyak lagi yang boleh kita bekerjasama dengan mereka. Kita boleh membeli daripada mereka dan menjual kepada mereka,” katanya kepada media Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Pakistan Nur Khan, Rawalpindi, dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu, Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Pakistan sejak Khamis menjadi tetamu kehormat pada sambutan Hari Pakistan yang diadakan di tempat perarakan Shakar Parian di sini.

Dr Mahathir berkata wujud pesefahaman yang lebih mendalam antara Pakistan dan Malaysia dan sekiranya kedua-dua negara benar-benar berusaha, hubungan dua hala dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara akan bertambah baik.

“ Seperti yang dilihat, mereka dapat membina pesawat (JF-17 Thunder). Pesawat ini yang dipamerkan sebentar tadi (semasa perarakan Hari Pakistan) amat baik sekali. Saya tahu Pakistan ingin menjual pesawat mereka kepada kita. Semua orang mahu menjual pesawat kepada kita. Tunjuklah satu dua pesawat supaya kita boleh lihat.

“ (Selain) beberapa kapal, mereka turut membina kenderaan darat. Saya tidak tahu sekuat mana tentera Pakistan dan peluru berpandu nuklear. Orang akan berfikir dua kali untuk menyerang Pakistan,” katanya.

Semasa ditanya mengenai perbincangannya dengan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengenai usaha mereka memerangi rasuah, Dr Mahathir berkata kedua-dua negara berdepan masalah yang sama untuk membawa “orang yang sebelum ini terlibat dengan rasuah” ke mahkamah.

“ Mereka (Pakistan) mahu mengambil tindakan terhadap orang yang dahulunya rasuah tetapi mereka dapati sukar untuk membicarakan (mereka) di mahkamah. Mereka (Pakistan) hadapi masalah itu. Kita juga berdepan masalah kerana mahkamah seperti mempunyai pandangannya sendiri mengenai betapa seriusnya perkara ini. Oleh itu, tidak banyak kemajuan. Kita telah membawa kes ke mahkamah tetapi belum ada perbicaraan,” katanya.

Dr Mahathir tiba di sini pada Khamis sempena lawatan kerja ke Pakistan selama tiga hari. Pada pagi Jumaat, beliau diberi sambutan rasmi di Prime Minister’s House. Imran Khan yang menyambut ketibaan Dr Mahathir kemudiannya mengadakan pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin yang diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Pakistan.

Selepas itu kedua-dua perdana menteri menghadiri mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri dari Malaysia dan Pakistan di sebuah hotel di sini.

Di hotel berkenaan, kedua-dua pemimpin menyaksikan upacara simbolik pecah tanah bagi kilang pemasangan pembuatan pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton, di negara itu.

Kilang pemasangan itu akan dibina berdekatan dengan Karachi, wilayah Sindh dan akan menjadi kilang pertama Proton di rantau Asia Selatan

Kedua-dua perdana menteri juga menyaksikan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Pakistan.

Syarikat-syarikat yang terlibat ialah Edotco Towers Pakistan Pvt. Limited dengan Pakistan Mobile Communication Limited & Deodar Pvt. Ltd; Edotco Towers Pakistan Pvt. Limited dengan Telenor Pakistan Limited; dan Edotco Towers Pakistan Pvt. Limited dengan CMPAK Limited (Zong).

Pada hari yang sama, Dr Mahathir dianugerahi Nishan-e-Pakistan atau Order of Pakistan, anugerah awam tertinggi negara itu yang disampaikan oleh Presiden Pakistan Dr Arif Alivi di Istana Presiden Aiwan-e-Sadr.

— BERNAMA

scroll to top